Rabu, 30 Januari 2019

Tonggak kembali julang Kelantan

ARKIB : 21/04/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
 
Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (depan) mengelak asakan pertahanan Perlis, Mohd. Hafiszuan Salehuddin pada perlawanan Liga Super di Stadium Utama Negeri di Kangar, kelmarin. - UTUSAN/Faizal Abu Hassan

KOTA BHARU - Datuk M. Karathu menyifatkan kemenangan besar 5-1 ke atas Perlis di Stadium Utama, Kangar dalam aksi Liga Super kelmarin, cukup bermakna buat selepas hambar dalam dua perlawanan sebelum ini.

Menurut ketua jurulatih Kelantan itu, kemenangan tersebut menjadi titik tolak kebangkitan Red Warriors untuk perlawanan pusingan kedua Liga Super, yang bermula esok.

"Saya berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan oleh pemain. Kemenangan ini amat berharga buat kami dalam usaha merapatkan jurang mata dengan dua pasukan di tangga teratas liga.

"Aksi sebegini mesti diteruskan jika mahu meneruskan tekanan ke atas pencabar terdekat. Ini merupakan kemenangan kedua kami di tempat lawan selepas menumbangkan Selangor pada perlawanan pembukaan liga awal Januari lalu," katanya semalam.

Karathu mengakui kemenangan ke atas Perlis dibantu semangat berpasukan di kalangan pemain, selain kembalinya tiga pemain tonggak iaitu Norshahrul Ildan Talaha, Daudsu Jamaluddin dan Mohd. Shakir Shaari.

Beliau memuji ketua pasukan Mohd. Badri Razhi yang kembali dengan sentuhan berbisa apabila meledak jaringan hatrik.

"Saya gembira dengan prestasi Mohd. Badri kerana dia menunjukkan peningkatan yang baik selepas direhatkan dalam beberapa perlawanan lalu,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5e6PfaA4E
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 26 Januari 2019

Norshahrul selamatkan Kelantan untuk kekal terajui liga


ARKIB : 26/02/2011
Oleh SHARIZA ABDULLAH
sukan@utusan.com.my
ALOR SETAR - Jaringan penyamaan Norshahrul Idlan Talaha menyelamatkan rekod tanpa kalah Kelantan daripada dileburkan Kedah dalam persaingan bola sepak Liga Super musim ini di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.

Rembatan voli penyerang negara itu pada minit ke-79, turut mengekalkan Wira Merah sebagai peneraju liga selepas melalui lima perlawanan, sekali gus memadam gol pendahuluan menerusi tolakan jarak dekat Azlan Ismail pada minit ke-57.

Dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 8,000 penonton itu, Kelantan terlebih dahulu mengancam kubu Kedah apabila percubaan S. Chanturu dari luar kotak penalti pada minit ke-7 menggegarkan palang gol.

Pada separuh masa kedua, Kedah yang membariskan kesebelasan terbaiknya semakin bernafsu memburu gol termasuk menerusi sepakan kaki kiri Azlan pada minit ke-53 yang berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Azlan ternyata menjadi duri dalam daging bagi pasukan pelawat apabila cekap menyambar peluang yang terhidang di hadapan gawang lawan dengan menyumbat gol pertama tuan rumah empat minit selepas itu hasil umpanan sebelah kiri daripada Baddrol Bakhtiar.

Sang Kenari nyaris menggandakan jaringan gol pada minit ke-66, namun sepakan Azmi Muslim ditepis keluar Khairul Fahmi.

Sementara itu, Terengganu pula melonjak ke tangga ketiga liga selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-1 hasil jaringan Hadi Yahya dan Ashari Samsudin di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Si Penyu terikat lapan mata dengan Perak yang bagaimanapun mempunyai kelebihan perbezaan gol, tiga berbalas dua yang hanya akan bertandang ke Kuantan untuk menentang Pahang, hari ini.

Kedua-dua gol Terengganu pada minit ke-38 dan 52 itu turut merapatkan jurangnya dengan jaringan tunggal Kuala Lumpur oleh Yong Kwong Yong pada minit ke-83 dengan pelawat turut kehilangan Ahmad Jihad Ismail yang dibuang padang.

Sementara itu, Sarawak kian merapati teraju Liga Perdana yang kini dikuasai PKNS sebanyak dua mata dengan membelasah Pos Malaysia 5-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5dj63OkS2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 25 Januari 2019

Norshahrul jadi taruhan Kelantan


ARKIB : 25/02/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Malam ini, skuad bimbingan Datuk M. Karathu akan berkunjung ke Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk bertemu bekas juara tiga Piala Malaysia, Kedah dalam saingan Liga Super.

Turun selaku pasukan pilihan, bukan tugas mudah buat Kelantan.

Walaupun berjaya membenam seteru utama Selangor pada aksi pembukaan 27 Januari lalu, itu bukanlah tiket utama untuk The Red Warriors berada dalam zon selesa malam ini.

Kedah setakat ini yang hanya mampu mencatat satu kemenangan yang pastinya akan turun bermati-matian untuk memungut mata penuh di laman sendiri sekali gus membantutkan hajat The Red Warriors untuk mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super.

Kemampuan skuad bimbingan Ahmad Yusof menjinakkan Felda United dan mengikat pasukan tangga kedua liga, Perak pada perlawanan sebelum ini wajar diberikan perhatian.

Walaupun peminat meragui kemampuan Hijau Kuning ini, namun skuad yang rata-rata dibarisi oleh anak muda ini tidak harus dipandang mudah oleh anak-anak buah Karathu.

Kemasukan tunggak berpengalaman seperti Amar Rohidan, Mohd. Fauzi Nan dan Firdaus Fauzi dilihat mampu membentuk gandingan mantap bersama pemain yang sudah masak dengan pasukan Kenari seperti Azmi Muslim, Badrol Bakhtiar, Sabree Abu dan beberapa lagi pemain lain.

Perkhabaran kembalinya penyerang 'prolifik' Azlan Ismail dari kecederaan panjang serta pemain tengah kebangsaan Amar Rohidan, bakal memperkuatkan lagi barisan pasukan Kedah.

Berdasarkan rekod pertemuan bagi kedua-dua musim lalu agak seimbang.

Hasil empat pertemuan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia kedua-dua pasukan berjaya mencatat satu kemenangan dan dua seri.

Berlainan pula bagi pendahulu Liga Super Kelantan, rentetan kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur tempoh hari pasti mahu dilakarkan di bumi Darul Aman dalam usaha mengukuhkan cengkaman di persada liga.

Sentuhan penggempur berbisa Norshahrul Idlan Talaha yang mendapat jolokan 'The linesman' di kalangan peminat setia Kelantan, pasti ditagih untuk merobek gawang gol Kedah yang dikawal ketat oleh Helmi Eliza Elias bersama pasangannya Muhammad Ramzul Zahini Adenan.

Bagi Kelantan, semua posisi sudah tampak hampir sempurna.

Sentuhan 'tangan ajaib' Khairul Fahmi Che Mat di gawang gol tidak perlu dipertikaikan selepas hanya melepaskan dua gol sepanjang empat perlawanan.

Kehilangan tunggak pertahanan musim lalu, Azizi Mat Rose yang berhijrah ke T-Team tidak memberikan banyak masalah buat Kelantan. Gandingan Zairul Fitree Ishak, bersama Mohd. Daudsu Jamaluddin, Mohd. Rizal Fahmi Rosid dan Mohd. Farisham Ismail dilihat cukup kental mempertahankan kubu Kelantan daripada dibolosi.

Barisan tengah pula menyaksikan keserasian sudah mula terbentuk.

Kemasukan pemain sayap baru Nurul Azuwan Roya dilihat memberikan impak besar buat Kelantan sekali gus menutup ruang kekosongan yang ditinggalkan oleh Indra Putra Mahyuddin.

Jentera serangan Kelantan dilihat sudah mula menemui sentuhan penyudah apabila berjaya meledak sembilan jaringan sepanjang empat perlawanan.

Kembali semula beberapa pemain yang mendapat jolokan 'Kelantan ekspres' dilihat akan menambah sengat di bahagian serangan seandainya kelibat Muhammad Ramzul Zahini tidak menjadi.

Dalam pada itu, Karathu melaungkan keyakinan untuk terus mengutip tiga mata pada perlawanan menentang Kedah.

Menurut beliau, tiga mata pada perlawanan itu sangat penting buat pasukannya jika mahu meneruskan cengkaman di persada liga.

Tambahnya, perlawanan di peringkat awal harus digunakan sebaik mungkin dalam usaha mengumpul seberapa banyak mata bagi memastikan Kelantan terus berada dalam kedudukan selesa.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5dfhiXaN7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 23 Januari 2019

Kelantan terjejas tanpa Norshahrul, Khairul

ARKIB : 12/01/2011
KOTA BHARU - Selepas aksi kurang menyakinkan dalam empat aksi persahabatan, jurulatih Kelantan, B. Sathianathan mengharapkan keputusan positif pada satu lagi aksi pemanas badan dengan Pulau Pinang, hari ini.

Turun tanpa dua tonggak kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat pada perlawanan itu, Sathianathan berkata, perancangannya terjejas kerana tidak dapat menghimpunkan kekuatan keseluruhan pasukannya.

Menurutnya, ketika ini kedua-dua pemain tersebut menyertai skuad kebangsaan yang memenuhi undangan meraikan kejayaan mereka memenangi Piala Suzuki AFF.

"Apa hendak buat, kedua-duanya diperlukan untuk bersama skuad kebangsaan kerana perlu menghadiri beberapa majlis bagi meraikan kejayaan mereka baru-baru ini.

"Sebagai jurulatih sudah pasti saya mengharapkan kelibat mereka kembali secepat mungkin untuk berlatih bersama-sama dengan pasukan,'' katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sathianathan memberitahu, meskipun tanpa kedua-dua pemain itu, dia yakin pasukannya mampu mencatatkan keputusan yang lebih baik pada perlawanan hari ini.

"Walaupun Pulau Pinang beraksi dalam Liga Perdana musim ini, tetapi kita tidak tahu kekuatan pasukan ini, apatah lagi mereka dibarisi muka baru musim ini. Apa-apa pun kita perlu hormati mereka dan tidak memandang mudah perlawanan ini," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz5dLZKkhhq

Isnin, 21 Januari 2019

Indonesia mahu ikat Safee, Shahrul

ARKIB : 25/12/2010
 
Skuad yang mampu untuk melakar satu lagi sejarah meraih Piala Suzuki AFF buat kali pertama.

JURULATIH pasukan Indonesia, Alfred Riedl, menamakan dua pemain Malaysia yang boleh mengugat cita-cita republik pada pertemuan akhir Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

Menurutnya, Malaysia memiliki Norsharul Idlan Talaha dan Safee Sali yang merupakan penyerang yang cukup berbahaya.

Malaysia menurutnya tidak mungkin mampu melangkah ke pentas akhir jika tidak disebabkan dua penyerang tersebut.

Norshahrul merupakan pencetus kepada gol-gol yang dijaringkan.

Sementara Safee adalah pahlawan yang memastikan lawan rebah.

Dua gol yang dia ledakkan ke gawang Vietnam pada peringkat separuh akhir pertama sudah cukup untuk memastikan juara bertahan itu tersungkur.

Sebab itu katanya, kedua-duanya perlu diberikan perhatian pada pertemuan malam esok.

"Saya sudah melihat permainan mereka ketika melawan Vietnam. Meskipun saya tidak hafal satu persatu, semua pemain perlu diwaspadai.

"Namun yang paling berbahaya adalah pemain nombor 9 (Norshahrul) dan 10 (Safee)," katanya kepada wartawan di Indonesia.

Malah kata Riedl, mereka sangat menghormati Malaysia.

"Namun, kami tidak takut untuk menghadapi mereka," katanya.

Selain itu, kecederaan yang berlaku dalam pasukan Indonesia tidak membimbangkan walaupun Firman Utina dan Oktovianus Maniani tidak beraksi di Bukit Jalil malam esok.

Menurut Riedl, ada pemain lain yang memiliki kualiti yang sama untuk menggantikan kedua pemain tersebut.

Firman mengalami cedera pangkal paha, sementara Okto pula cedera hamstring ketika menentang Filipina pada peringkat separuh akhir kedua.

Pada sesi latihan Khamis lalu kedua-dua pemain tidak berlatih bersama rakan sepasukan yang lain.

Kedua-duanya hanya menjalani latihan ringan dengan berlari-lari keliling padang di bawah pemerhatian fisioterapi.

Ketiadaan dua pemain itu akan diganti oleh dua pemain berbakat pada posisi terbabit.

Arif Suyono mampu menggantikan peranan Okto di sayap kiri. Sementara itu, Firman boleh digantikan Tony Sucipto, Eka Ramdani dan Johan Juansyah.

Eka sendiri pernah mengisi posisi Firman ketika menentang Thailand pada peringkat kumpulan.

"Tidak ada strategi khusus bila kedua-dua pemain tersebut tiada. Kami mempunyai 22 pemain utama yang semuanya memiliki kualiti yang sama," ujar Riedl.

Dalam sesi latihan pula Riedl berusaha mempertajam umpanan silang, tendangan percuma dan penyelesaian akhir pasukannya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana_Sukan&pg=rs_02.htm#ixzz5dET2eekY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 20 Januari 2019

Ikat sayap Indonesia - Rajagobal

ARKIB : 22/12/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
k. Rajagobal memberi arahan kepada Norshahrul Idlan Talaha pada sesi latihan pasukan kebangsaan di Kelana Jaya, semalam.

KUALA LUMPUR - Kelibat dua pemain sayap Indonesia, Oktovianus Maniani dan Muhammad Ridwan bersama pemain import mereka, Cristian Gonzales akan diberikan perhatian istimewa oleh pertahanan Malaysia.

Itu janji jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal menjelang perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

''Berdasarkan analisis, Saya melihat mereka pemain yang boleh menghadirkan ancaman serius kepada kami jika diberikan ruang untuk bergerak bebas.

''Saya ada perancangan khusus untuk mengikat mereka dan jika itu berjaya, kami mampu bermain mengikut apa yang saya rancangkan dan itu mampu berikan kelebihan buat kami.

''Saya harap para pemain boleh mengambil kelebihan bermain di gelanggang sendiri untuk mendapatkan bekalan selesa sebelum bermain pada perlawanan kedua.

''Selain mereka, saya lihat ketua pasukan Indonesia, Firman Utina dan Ahmad Bustomi juga antara pemain yang bagus, '' katanya ketika ditemui di padang Wisma FAM, semalam.

Skuad negara kembali menjalani latihan semalam, selepas diberi pelepasan dua hari oleh Rajagobal, sejurus pulang dari Hanoi, Ahad lalu.

Namun dua pemain, Khyril Muhymeen dan Mohd. Amirulhadi Zainal tidak dapat bersama rakan-rakan yang lain menjalani latihan, kerana cedera lutut.

Rajagobal berkata, dua pemain tersebut berlatih di bawah pengawasan ahli fisioterapi dan dia masih belum pasti sejauh mana tahap kecederaan pemain Kedah dan Selangor itu.

''Khyril ada masalah di lutut kanan sementara Amirulhadi pada lutut kiri, tetapi saya lihat tidak serius. Saya akan lihat perkembangan mereka dari semasa ke semasa, '' katanya.

Selain itu, Rajagobal berharap tiga pemain, Safee Sali, Mahali Jasulli dan Amirulhadi dapat mengelakkan daripada mengutip kad kuning kedua pada final pertama, supaya dapat beraksi di Stadium Gelora Bung Karno pada final kedua.

''Mereka bertiga masing-masing sudah mendapat satu kad kuning perlawanan separuh akhir berdepan Vietnam.

''Saya harap mereka berhati-hati semasa bertemu Indonesia di Stadium Nasional nanti supaya tidak digantung pada perlawanan seterusnya, '' katanya.

Skuad bimbingan Rajagobal akan berdepan Felda United di Wisma FAM pada aksi persahabatan pada pukul 8 malam ini.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5d9PPATxh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Gol tempat lawan penting - Rajagobal


ARKIB : 18/12/2010
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
Norshahrul Idlan Talaha melarikan bola dari pemain pertahanan Vietnam. Malaysia berjaya menewaskan pasukan Vietnam 2-0 pada separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Rabu lalu. - UTUSAN/Shahril Azman Zain

SEPANG - Tidak ada apa yang bermain di fikiran jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal menjelang pertemuan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF menentang Vietnam hari ini, kecuali mencari gol di tempat lawan.

Rajagobal sedar gol di tempat lawan bakal mencerahkan lagi peluang anak-anak buahnya untuk menempah tiket ke perlawanan akhir selepas mencatat kemenangan 2-0 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu.

Menurutnya, bagi mencapai sasaran memperoleh gol ketika berdepan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, percaturan strategi yang tepat adalah amat penting agar Malaysia tidak terkulai di hadapan ribuan penyokong tuan rumah.

"Saya perlu melakukan strategi yang betul, saya akan memilih dengan tepat sama ada mahu mengekalkan corak yang sama ketika perlawanan separuh akhir pertama ataupun bertahan. Semua ini akan dibincang dengan sebaiknya bersama penolong saya, pengurus pasukan dan pemain," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) awal pagi, kelmarin.

Jelasnya, hasil daripada perbincangan tersebut akan menentukan siapa yang bakal diturunkan dalam kesebelasan utama dan corak permainan apa yang hendak diguna pakai, semuanya adalah untuk menghalang Vietnam daripada bangkit di laman sendiri.

"Bagaimanapun, saya sudah berpesan kepada pemain tugas berat menanti mereka menjelang perlawanan di Hanoi Sabtu ini (hari ini), Vietnam sudah pasti akan melakukan serangan bertubi-tubi. Saya berharap pemain dapat memikul tanggungjawab sebaik mungkin.

"Saya lihat keyakinan pemain semakin tinggi, bagaimanapun mereka harus sedar kelebihan dua gol bukannya bererti kita sudah berada pada zon selesa, sekurang-kurangnya kita perlu cari lagi dua gol dan pada masa sama bertahan sebaik mungkin," katanya.

Pada pertemuan separuh akhir pertama, Rabu lalu Malaysia berjaya mencatat kemenangan 2-0, hasil dua gol daripada pemain penyerang, Safee Sali pada minit ke-65 dan 83.

"Saya juga tidak mahu pemain memikirkan tentang peristiwa lalu baik dibelasah Indonesia 1-5, mahupun ketika separuh akhir Piala Tiger 2004, apabila Malaysia mencatat kemenangan 2-1 di Stadium Bung Karno, Jakarta sebelum tewas 1-4 juga kepada Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Saya mahu mereka fikirkan tentang masa sekarang, perkara yang lalu biarkan berlalu. Ia tidak sama seperti sekarang, baik dari jurulatih mahupun pemain. Saya mahu mereka fokus dan jangan lepaskan peluang terbaik ini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d8Kw63Ce
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 19 Januari 2019

Bola tewas, Malaysia tumpu Piala AFF Suzuki


ARKIB : 16/11/2010
GUANGZHOU - Malaysia menamatkan saingan bola sepak Sukan Asia selepas kecundang 1-3 kepada Iran dalam pusingan kedua, semalam selepas ditimpa masalah kecederaan yang melibatkan ramai tonggak utama dan penggantungan pemain sepanjang aksi dalam temasya ini.

Selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kyrgyzstan, skuad negara tumbang 0-2 kepada Jepun dan 0-3 kepada China untuk menduduki tangga ketiga kumpulan.

Apa pun, jurulatih K. Rajagobal menganggap kempen pada Sukan Asia XVI sebagai berjaya.

"Secara keseluruhan, ini satu kejohanan yang berjaya buat skuad kebangsaan. Apa yang penting, kita kini mula dihormati oleh semua pasukan kuat di rantau Asia ini.

Malaysia berjaya mengikat Iran tanpa jaringan pada separuh masa pertama berikutan aksi cemerlang penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sehingga berakhir babak pertama perlawanan.

Namun, gawang Malaysia yang menerima asakan bertali arus jentera serangan Iran tidak dapat bertahan lama apabila Karim Ansari Fard merembat gol pertama pasukannya pada minit ke-52.

Suasana kelam kabut jelas mempengaruhi benteng Malaysia dengan hantaran yang tidak kemas dan mudah kehilangan kawalan bola menyebabkan Iran mengambil kesempatan kecelaruan kesebelasan negara untuk menguatkan kedudukannya menerusi tandukan Seyed Hosseini enam minit selepas itu.

Iran yang juga juara bertahan, semakin selesa mendahului apabila Amir Sharafi merembat masuk dari luar kotak penalti pada minit ke-66 sebelum Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol sagu hati Malaysia menerusi sepakan penalti minit ke-85.

Dalam pada itu, skuad negara yang tempang sepanjang kempen Sukan Asia XVI bakal diperkuat dengan 10 pemain tambahan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta, Indonesia bermula 1 Disember ini.

Mereka adalah Safee Sali, Ashaari Shamsuddin, Baddrol Bakhtiar, Sabre Mat Abu, Nasriq Baharom, Azmi Muslim, Halim Zainal, Khairul Helmi Johari serta dua penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli dan Farizal Marlias.

Rajagobal berkata, skuad negara yang akan pulang ke tanah air hari ini atau esok dijangka mengadakan latihan pusat pada Isnin.

"Inilah pemain yang telah saya daftar. Tetapi kita tidak akan dapat menggunakan khidmat Norhafiz Zamani Misbah dan Ahmad Fakri Saarani yang cedera panjang. Cuma saya harap pemain yang tidak dibawa ke Sukan Asia akibat kecederaan seperti Baddrol, Sabre, Nasriq, Azmi dan Sharbinee sudah kembali pulih untuk ke Piala AFF Suzuki. - Utusan



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5d2y9qDnu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 18 Januari 2019

Malaysia lepasi halangan pertama


ARKIB : 09/11/2010
KUALA LUMPUR - Malaysia mengorak langkah kanan dalam perlawanan pertama Kumpulan A bola sepak Sukan Asia XVI Guangzhou 2010 dengan menewaskan Kyrgyzstan 2-1 di Stadium Huadu, petang semalam.

S. Chanturu memastikan tiga mata milik skuad bimbingan K. Rajagobal itu dengan jaringan kemenangan pada minit ke-60 setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 45 minit babak pertama.

Malah, skuad bawah 23 tahun negara dengan tiga pemain senior termasuk ketua pasukan Norhafiz Zamani Misbah yang berpengalaman tiga Sukan Asia sejak 2002, mendahului menerusi penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-27.

Namun, Kyrgysztan dengan khidmat dua pemain berpengalaman liga Perancis dan Latvia, Davron Askarov dan Azamat Baimatov, sempat menyamakan kedudukan hasil jaringan Sydykov, 10 minit selepas itu.

Malaysia bagaimanapun, cuma beroleh tiga peluang ke gawang daripada enam percubaan, berbanding lima milik lawan selain mendapat tiga sepakan sudut.

Dua pemain negara, Mahalli Jasuli dan S. Kunanlan dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan dari Myanmar, Win Cho.

Kemenangan idaman ini turut menamatkan badi kecundang perlawanan sulung buat Malaysia dalam Sukan Asia Busan 2002 dan Doha 2006, apabila dua kali dikalahkan Oman 1-0 dan 3-1.

Ia juga bakal menjadi penyala semangat yang terbaik menjelang pertemuan dengan lawan yang lebih getir, Jepun di gelanggang sama pada pukul 4 petang esok.

Kemenangan tersebut ternyata menggembirakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad menyifatkan ia pencapaian yang membanggakan.

"Kemenangan ini amat membanggakan kerana skuad yang berkunjung ke Guangzhou tidak berada pada kekuatan seratus peratus, berikutan masalah kecederaan yang melanda pemain utama," katanya.

Jelas Azzuddin, kecemerlangan itu harus diteruskan pada perlawanan kedua dan ketiga peringkat kumpulan, menentang China dan Jepun, walaupun tidak mempunyai ramai pemain utama termasuk pasangan kembar Mohd. Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd. Radzak.

"Kita memang sukar menjangkakan sama ada mampu untuk mengatasi Kyrgyzstan dengan kekuatan yang ada.

''Namun kemenangan 2-1 sekurang-kurangnya mengatasi keraguan terhadap kemampuan skuad ini.

"Saya harap ketiadaan pemain senior akibat kecederaan, dapat diketepikan dan pemain dapat meneruskan aksi cemerlang walaupun berdepan laluan sukar bertemu Jepun Rabu ini dan perlawanan terakhir bertemu China pada 13 November ini," katanya.

Bagaimanapun berita yang menggembirakan itu dicacatkan dengan kecederaan yang melanda ketua pasukan negara, Norhafiz Zamani Misbah yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-70 sebelum digantikan pemain muda, Mohd. Fadhli Mohd. Shas.

Selain Norhafiz, turut cedera dan terpaksa dikeluarkan ialah penjaring gol kedua, S. Chanturu yang digantikan dengan Izzaq Faris Ramlan pada minit ke-82.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5cxzRyn2Y
© Utusan Melayu (M) Bhd

3 pemain senior lengkap skuad ke China


ARKIB : 04/11/2010
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 PETALING JAYA - Teka-teki tiga pemain senior yang bakal dibawa jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal ke Sukan Asia Guangzhou terjawab selepas Norhafiz Zamani Misbah, S. Kunanlan dan Norshahrul Idlan Talaha melengkapkan senarai 20 pemain.

Menurut Rajagobal, masalah kecederaan pemain terutama sekali di bahagian pertahanan menjadi sebab utama mengapa dia memilih Norhafiz untuk dibawa ke Sukan Asia sekali gus melantik pemain KL Plus itu sebagai ketua pasukan.

"Bagaimanapun kami tetap optimis dan saya mahu pemain terus mempamerkan aksi meyakinkan dalam setiap perlawanan di Guangzhou nanti, seterusnya melakukan perkara yang sama dalam Kejohanan AFF pada Disember ini," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran jersi baru skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Jelasnya, ketiga-tiga pemain senior yang bakal beraksi nanti juga dipilih melalaui senarai 30 pemain yang didaftarkan dalam skuad kebangsaan.

"Saya tidak mahu menjadikan jadual yang padat sebagai satu sebab mengapa pemain mudah mengalami kecederaan, sebaliknya pemain juga perlu mempunyai tanggungjawab untuk menjaga diri sendiri," kata Rajagobal yang juga tidak dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd. Radzak yang dibelenggu kecederaan lutut.

Ditanya mengenai kesebelasan pemain yang bakal diturunkan menjelang perlawanan pertama menentang Kyrgyzstan, Isnin depan, bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu berkata, dia tidak menganggap 11 pemain sahaja yang perlu diharapkan dalam misi ini, sebaliknya kesemua 20 pemain adalah penting.

"Saya mahu mereka pergi ke sana (Guangzhou) beraksi sebaik mungkin tanpa ada perasaan takut, walaupun bakal berdepan China dan Jepun dalam saingan peringkat kumpulan, kita tidak seharusnya beraksi secara defensif.

"Secara berterus-terang saya katakan persiapan ke Sukan Asia tidak mencukupi bagaimanapun kita harus menerimanya dan bukan menjadikannya sebagai satu alasan," kata Rajagobal.

Selain Aidil, skuad kebangsaan kehilangan pemain tengah Selangor, Bunyamin Omar, Zaquan Adha Abd. Radzak, Mohd. Sabre Mat Abu, Baddrol Bakhtiar, Mohd. Nasriq Baharom, Farizal Marlias, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli dan Azmi Muslim.

"Saya tidak mempunyai banyak maklumat mengenai Kyrgyzstan tetapi corak permainan mereka sudah pasti sama seperti negara Eropah yang menggunakan kelebihan fizikal, sementara China dan Jepun kita sudah tahu tentang corak permainan mereka," katanya.

Malaysia akan menentang Jepun pada perlawanan kedua pada 10 November ini sebelum bertemu China pada 13 November.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5cxkQ7gsv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Norshahrul paling bernilai 2010


ARKIB : 03/11/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
(DARI kiri) B. Sathianathan, Khairul Fahmi Che Mat, Norsharul Idlan Talaha, Badrol Bakhtiar dan Aidil Zafuan Abdul Razak bersama anugerah masing-masing di Kuala Lumpur, semalam.

PETALING JAYA – Reputasi juara Piala Malaysia musim ini, Kelantan sebagai kuasa baru bola sepak tanah air semakin kukuh apabila mendominasi lima daripada sembilan kategori Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2010 100Plus-FAM, semalam.

Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha paling mencuri tumpuan selepas dinobatkan Pemain Paling Bernilai 2010 selain turut merangkul Penyerang Terbaik 2010 menewaskan pencabar terdekat yang merupakan penjaring gol terbanyak Liga Super, Mohamad Ashaari Samsudin dari Terengganu.

Anak jati Besut, Terengganu itu berjaya meraih RM3,000 selaku Pemain Paling Bernilai dan RM500 untuk kategori penyerang selain menerima trofi daripada 100Plus selaku penaja utama.

Selain Norshahrul, Kelantan turut berbangga apabila penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat diangkat sebagai pemenang dalam dua kategori iaitu penjaga gol terbaik dan pemain muda terbaik.

Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan melengkapkan penguasaan skuad Red Warriors dengan berjaya muncul sebagai jurulatih terbaik mengatasi K. Devan, E. Elavarasan, Gary Phillip dan Ahmad Yusoff.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, Pengarah Urusan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd, James Teo dan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Hamidin Mohd.Amin.

Tidak menyangka muncul sebagai Pemain Paling Bernilai 2010, Norshahrul yang menjadi salah seorang nadi kejayaan Kelantan pada musim ini anugerah itu sebagai pemangkin semangat untuk menyerlah di Sukan Asia dan Kelantan pada musim hadapan.

‘‘Akhirnya penat lelah saya selama satu musim ini berbaloi dan terima kasih kepada semua jurulatih yang pernah membimbing saya termasuk semua rakan sepasukan di Kelantan, tanpa anda semua, tidak mungkin saya akan berada di sini.

‘‘Hadiah ini ditujukan kepada isteri tersayang yang banyak menyokong karier saya dan insya- Allah saya akan terus mempertingkatkan prestasi selepas ini di Sukan Asia dan Piala AFF bersama skuad kebangsaan,” jelasnya.

Pada masa sama, Norshahrul memberikan bayangan bahawa dia akan kekal beraksi bersama skuad Kijang pada musim hadapan walaupun menerima tawaran daripada beberapa pasukan lain.

‘‘Memang ada saya dapat beberapa tawaran seperti dari Selangor, Perak dan Negeri Sembilan tetapi hati saya masih di Kelantan dan mahu kekal di sini kerana rasa sudah selesa dengan rakan sepasukan dan penyokong,” ujarnya.

Anugerah pemain tengah terbaik menjadi milik pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar manakala Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak mempertahankan trofi pertahanan terbaik.

Kedah muncul kelab penyokong terbaik sementara Johor FC mengulangi kejayaan dua tahun berturut-turut sebagai kelab terbaik.

Persatuan Bola Sepak Terbaik dipegang Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5cxcawuu6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nor Shahrul, Akmal mampu benam Kedah


ARKIB : 23/10/2010
Oleh Yatimin Abdullah
sukan@utusan.com.my
 
tonggak penyerang Kelantan, Nor Shahrul Idlan Talaha (dua dari kanan) dan Akmal Rizal Rakhli (tiga dari kanan) giat menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu semalam sebagai persediaan menentang Kedah dalam Piala Malaysia, hari ini. - UTUSAN/Hafiz Johari

KOTA BHARU - Meskipun Kedah mempunyai rekod baik di Stadium Sultan Muhammed IV musim ini, Kelantan sudah bersiap sedia untuk menjadikan lawan mereka itu sebagai mangsa, selepas menjinakkan Selangor dalam saingan Piala Malaysia.

Beraksi di depan 25,000 penyokong setia mereka, Kelantan pasti mempunyai kelebihan psikologi pada separuh akhir kedua Piala Malaysia, hari ini.

Kelantan dilimpahi pelbagai berita gembira apabila penyerang kebangsaan, Nor Shahrul Idlan Talha akan beraksi, setelah digantung akibat menerima kad merah.

Gandingan Nor Shahrul dan Akmal Rizal Rakhli, pasti meresahkan pertahanan Kedah.

Gandingan Nor Shahrul-Akmal telah meledak lapan gol setakat ini dan ini memaksa pertahanan Kedah, terutama penjaga gol mereka, Helmi Eliza Elias perlu bekerja lebih keras.

Ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan berkata, pasukannya membuat persiapan rapi untuk perlawanan hari ini.

"Kedah sebuah pasukan yang hebat. Prestasi di atas kertas juga memihak kepada mereka.

''Kedah mempunyai lima pemain kebangsaan. Mahu tak mahu, kita kena bagi yang terbaik pada perlawanan malam esok,'' katanya ketika ditemui, semalam.

Ditanya mengenai peluang pasukannya pada perlawanan hari ini, bekas pengendali skuad kebangsaan itu memberitahu: "Saya yakin kita mampu ke perlawanan akhir. Ini berdasarkan apa yang pemain tunjukkan pada perlawanan separuh akhir pertama, walaupun kita terpaksa membuat pertukaran pemain dalam tempoh sepuluh minit.

"Pemain tetap fokus dan berjaya mencipta beberapa peluang gol dalam perlawanan tersebut, inilah yang kita mahukan,'' katanya.

Tambahnya, untuk perlawanan hari ini, beliau akan membuat sedikit perubahan taktikal bagi mengisi kekosongan Azizi Mat Rose, yang cedera.

"Perubahan taktikal terpaksa dilakukan, namun bagi saya ia tidak menjejaskan persiapan saya. Rata-rata pemain yang saya miliki mampu beraksi seperti yang saya mahukan.

"Inilah peluang mereka yang tidak tersenarai sebelum ini untuk membuktikan sesuatu kepada pasukan,'' katanya.

Sathianathan juga berkata, Kelantan juga bersedia jika permainan diheret sehingga ke masa tambahan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5cx3eACnW
© Utusan Melayu (M) Bhd