Jumaat, 18 Januari 2019

Norshahrul paling bernilai 2010


ARKIB : 03/11/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
(DARI kiri) B. Sathianathan, Khairul Fahmi Che Mat, Norsharul Idlan Talaha, Badrol Bakhtiar dan Aidil Zafuan Abdul Razak bersama anugerah masing-masing di Kuala Lumpur, semalam.

PETALING JAYA – Reputasi juara Piala Malaysia musim ini, Kelantan sebagai kuasa baru bola sepak tanah air semakin kukuh apabila mendominasi lima daripada sembilan kategori Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2010 100Plus-FAM, semalam.

Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha paling mencuri tumpuan selepas dinobatkan Pemain Paling Bernilai 2010 selain turut merangkul Penyerang Terbaik 2010 menewaskan pencabar terdekat yang merupakan penjaring gol terbanyak Liga Super, Mohamad Ashaari Samsudin dari Terengganu.

Anak jati Besut, Terengganu itu berjaya meraih RM3,000 selaku Pemain Paling Bernilai dan RM500 untuk kategori penyerang selain menerima trofi daripada 100Plus selaku penaja utama.

Selain Norshahrul, Kelantan turut berbangga apabila penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat diangkat sebagai pemenang dalam dua kategori iaitu penjaga gol terbaik dan pemain muda terbaik.

Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan melengkapkan penguasaan skuad Red Warriors dengan berjaya muncul sebagai jurulatih terbaik mengatasi K. Devan, E. Elavarasan, Gary Phillip dan Ahmad Yusoff.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, Pengarah Urusan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd, James Teo dan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Hamidin Mohd.Amin.

Tidak menyangka muncul sebagai Pemain Paling Bernilai 2010, Norshahrul yang menjadi salah seorang nadi kejayaan Kelantan pada musim ini anugerah itu sebagai pemangkin semangat untuk menyerlah di Sukan Asia dan Kelantan pada musim hadapan.

‘‘Akhirnya penat lelah saya selama satu musim ini berbaloi dan terima kasih kepada semua jurulatih yang pernah membimbing saya termasuk semua rakan sepasukan di Kelantan, tanpa anda semua, tidak mungkin saya akan berada di sini.

‘‘Hadiah ini ditujukan kepada isteri tersayang yang banyak menyokong karier saya dan insya- Allah saya akan terus mempertingkatkan prestasi selepas ini di Sukan Asia dan Piala AFF bersama skuad kebangsaan,” jelasnya.

Pada masa sama, Norshahrul memberikan bayangan bahawa dia akan kekal beraksi bersama skuad Kijang pada musim hadapan walaupun menerima tawaran daripada beberapa pasukan lain.

‘‘Memang ada saya dapat beberapa tawaran seperti dari Selangor, Perak dan Negeri Sembilan tetapi hati saya masih di Kelantan dan mahu kekal di sini kerana rasa sudah selesa dengan rakan sepasukan dan penyokong,” ujarnya.

Anugerah pemain tengah terbaik menjadi milik pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar manakala Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak mempertahankan trofi pertahanan terbaik.

Kedah muncul kelab penyokong terbaik sementara Johor FC mengulangi kejayaan dua tahun berturut-turut sebagai kelab terbaik.

Persatuan Bola Sepak Terbaik dipegang Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5cxcawuu6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan