ARKIB : 18/12/2010
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Norshahrul Idlan Talaha melarikan
bola dari pemain pertahanan Vietnam. Malaysia berjaya menewaskan pasukan Vietnam
2-0 pada separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Bukit Jalil,
Kuala Lumpur, Rabu lalu. - UTUSAN/Shahril Azman Zain
SEPANG - Tidak ada apa yang
bermain di fikiran jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal menjelang pertemuan
separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF menentang Vietnam hari ini, kecuali
mencari gol di tempat lawan.
Rajagobal sedar gol di tempat
lawan bakal mencerahkan lagi peluang anak-anak buahnya untuk menempah tiket ke
perlawanan akhir selepas mencatat kemenangan 2-0 pada perlawanan separuh akhir
pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu.
Menurutnya, bagi mencapai sasaran
memperoleh gol ketika berdepan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, percaturan
strategi yang tepat adalah amat penting agar Malaysia tidak terkulai di hadapan
ribuan penyokong tuan rumah.
"Saya perlu melakukan
strategi yang betul, saya akan memilih dengan tepat sama ada mahu mengekalkan
corak yang sama ketika perlawanan separuh akhir pertama ataupun bertahan. Semua
ini akan dibincang dengan sebaiknya bersama penolong saya, pengurus pasukan dan
pemain," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Terminal Penerbangan
Tambang Murah (LCCT) awal pagi, kelmarin.
Jelasnya, hasil daripada
perbincangan tersebut akan menentukan siapa yang bakal diturunkan dalam
kesebelasan utama dan corak permainan apa yang hendak diguna pakai, semuanya
adalah untuk menghalang Vietnam daripada bangkit di laman sendiri.
"Bagaimanapun, saya sudah
berpesan kepada pemain tugas berat menanti mereka menjelang perlawanan di Hanoi
Sabtu ini (hari ini), Vietnam sudah pasti akan melakukan serangan bertubi-tubi.
Saya berharap pemain dapat memikul tanggungjawab sebaik mungkin.
"Saya lihat keyakinan pemain
semakin tinggi, bagaimanapun mereka harus sedar kelebihan dua gol bukannya
bererti kita sudah berada pada zon selesa, sekurang-kurangnya kita perlu cari
lagi dua gol dan pada masa sama bertahan sebaik mungkin," katanya.
Pada pertemuan separuh akhir
pertama, Rabu lalu Malaysia berjaya mencatat kemenangan 2-0, hasil dua gol
daripada pemain penyerang, Safee Sali pada minit ke-65 dan 83.
"Saya juga tidak mahu pemain
memikirkan tentang peristiwa lalu baik dibelasah Indonesia 1-5, mahupun ketika
separuh akhir Piala Tiger 2004, apabila Malaysia mencatat kemenangan 2-1 di
Stadium Bung Karno, Jakarta sebelum tewas 1-4 juga kepada Indonesia di Stadium
Nasional Bukit Jalil.
"Saya mahu mereka fikirkan
tentang masa sekarang, perkara yang lalu biarkan berlalu. Ia tidak sama seperti
sekarang, baik dari jurulatih mahupun pemain. Saya mahu mereka fokus dan jangan
lepaskan peluang terbaik ini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d8Kw63Ce
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan