Isnin, 11 November 2019

Cheng Hoe gugur Shahrel, Farhan, Nazirul

SUKAN»Bola
Isnin, 11 November 2019 | 9:44pm
 
Jurulatih skuad bola sepak Malaysia, Tan Cheng Hoe memantau anak buahnya pada sesi latihan menjelang perlawanan menentang pasukan Thailand dan Indonesia dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2033 ketika sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya. - Foto Aizuddin Saad
Cheng Hoe gugur Shahrel, Farhan, Nazirul
PETALING JAYA: Penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi antara tiga pemain digugurkan Tan Cheng Hoe menjelang aksi getir di Stadium Nasional Bukit Jalil berdepan Thailand dan Indonesia dalam saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Senarai 23 pemain skuad kebangsaan itu diumumkan Cheng Hoe dalam satu kenyataan media dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Muhammad Shahrel Fikri atau lebih dikenali dengan panggilan Eki, 25, yang meledak hatrik pertamanya bersama skuad kebangsaan ketika menewaskan Timor Leste 5-1 pada aksi kedua ‘playoff’ kelayakan Jun lalu, digugurkan bersama pemain sayap Muhammad Farhan Roslan dan Nazirul Naim Che Hashim (pertahanan).

Pengguguran Muhammad Shahrel itu menyaksikan Cheng Hoe mempertaruhkan penyerang berpengalaman Norshahrul Idlan Talaha dan Muhammad Syafiq Ahmad dalam misi meraih enam mata penuh dalam dua pertembungan pada 14 dan 19 November ini.

“Eki (Muhammad Shahrel) mengalami kecederaan agak lama dan kita perlukan pemain yang mempunyai tahap kecergasan 100 peratus. Jadi sebab itu beliau tidak disenaraikan dan Nazirul pula kerana kita ada Syazwan (Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak) di posisi itu.

Farhan mempunyai potensi dan masa depan yang cerah bersama skuad kebangsaan tetapi dalam masa singkat bukan mudah untuk dia sesuaikan diri dengan corak permainan pasukan,” kata Cheng Hoe ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM di sini, hari ini.

Malaysia kini mengumpul tiga mata dan menduduki tempat keempat dalam Kumpulan G, dibezakan empat mata dengan pendahulu Thailand yang berkongsi mata dengan Vietnam.

Malaysia melakar kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Jakarta pada September lalu, sebelum tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil dan tumpas 0-1 di tangan Vietnam di Hanoi, bulan lepas.

Berikut adalah senarai 23 pemain dipilih Cheng Hoe bagi dua aksi berdepan Thailand dan Indonesia;

Penjaga gol: Mohd Farizal Marlias; Muhammad Haziq Nadzli; Mohd Khairulazhan Mohd Khalid

Pertahanan: Adam Nor Azlin; Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak; La’vere Corbin-Ong; Matthew Davies; Shahrul Mohd Saad; Muhammad Syahmi Safari; Dominic Tan Jun Jin

Tengah: Mohamed Syamer Kutty Abba; Mohd Afiq Fazail; Muhamad Nor Azam Abdul Azih; Brendan Gan; Baddrol Bakhtiar; Muhammad Danial Amier Norhisham; Mohd Azzizan Nordin

Sayap: Muhammad Safawi Rasid; Muhammad Akhyar Abdul Rashid; Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak; Mohamadou Sumareh

Penyerang: Muhammad Syafiq Ahmad; Norshahrul Idlan Talaha

-- BERNAMA
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 11 November 2019 | 9:44pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan