ARKIB : 22/12/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
k. Rajagobal memberi arahan kepada Norshahrul Idlan Talaha pada sesi latihan pasukan kebangsaan di Kelana Jaya, semalam.
KUALA LUMPUR - Kelibat dua pemain sayap Indonesia, Oktovianus Maniani dan Muhammad Ridwan bersama pemain import mereka, Cristian Gonzales akan diberikan perhatian istimewa oleh pertahanan Malaysia.
Itu janji jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal menjelang perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
''Berdasarkan analisis, Saya melihat mereka pemain yang boleh menghadirkan ancaman serius kepada kami jika diberikan ruang untuk bergerak bebas.
''Saya ada perancangan khusus untuk mengikat mereka dan jika itu berjaya, kami mampu bermain mengikut apa yang saya rancangkan dan itu mampu berikan kelebihan buat kami.
''Saya harap para pemain boleh mengambil kelebihan bermain di gelanggang sendiri untuk mendapatkan bekalan selesa sebelum bermain pada perlawanan kedua.
''Selain mereka, saya lihat ketua pasukan Indonesia, Firman Utina dan Ahmad Bustomi juga antara pemain yang bagus, '' katanya ketika ditemui di padang Wisma FAM, semalam.
Skuad negara kembali menjalani latihan semalam, selepas diberi pelepasan dua hari oleh Rajagobal, sejurus pulang dari Hanoi, Ahad lalu.
Namun dua pemain, Khyril Muhymeen dan Mohd. Amirulhadi Zainal tidak dapat bersama rakan-rakan yang lain menjalani latihan, kerana cedera lutut.
Rajagobal berkata, dua pemain tersebut berlatih di bawah pengawasan ahli fisioterapi dan dia masih belum pasti sejauh mana tahap kecederaan pemain Kedah dan Selangor itu.
''Khyril ada masalah di lutut kanan sementara Amirulhadi pada lutut kiri, tetapi saya lihat tidak serius. Saya akan lihat perkembangan mereka dari semasa ke semasa, '' katanya.
Selain itu, Rajagobal berharap tiga pemain, Safee Sali, Mahali Jasulli dan Amirulhadi dapat mengelakkan daripada mengutip kad kuning kedua pada final pertama, supaya dapat beraksi di Stadium Gelora Bung Karno pada final kedua.
''Mereka bertiga masing-masing sudah mendapat satu kad kuning perlawanan separuh akhir berdepan Vietnam.
''Saya harap mereka berhati-hati semasa bertemu Indonesia di Stadium Nasional nanti supaya tidak digantung pada perlawanan seterusnya, '' katanya.
Skuad bimbingan Rajagobal akan berdepan Felda United di Wisma FAM pada aksi persahabatan pada pukul 8 malam ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5d9PPATxh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan