PEMAIN Harimau Malaya menjalani
latihan di Hanoi semalam dalam persiapan menghadapi Vietnam esok. - Gambar
ihsan FAM
Fadhilul Izmel Ishak
09 Oktober 2019 9:49 AM
HANOI 8 Okt. -Tindakan
Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) menyediakan padang latihan Harimau Malaya
di depan kediaman jurulatih Vietnam, Park Hang-seo membuatkan pasukan
kebangsaan tidak selesa melakukan persiapan menghadapi skuad Naga Emas dalam
pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh,
Khamis ini.
Skuad kebangsaan menjalani
latihan di Pusat Latihan Remaja VFF, dan jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng
Hoe mengakui, beliau tidak dapat menerapkan latihan lebih ke arah taktikal
kerana bimbang dihidu oleh tuan rumah.
“Latihan berjalan lancar dan
suasana dalam kem pun juga baik. Semua pemain fokus selepas aksi persahabatan
menentang Sri Lanka. Apa yang penting, pemain bebas daripada kecederaan.
“Memang betul kami berlatih di
depan rumah jurulatih Vietnam, namun saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana
semuanya sudah diatur oleh VFF, jadi kami ikut sahaja.
“Saya lebih banyak melakukan
latihan fizikal pemain dan bukan taktikal pasukan, namun itu tidak bermakna
mereka tidak dapat menghidu permainan kita kerana mereka pasti melihat dua
perlawanan kita di peringkat kumpulan sebelum ini,” katanya kepada Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai
kelewatan dua pemain Vietnam iaitu Cong Phuong dan Doan Van Hau tiba di kem
latihan pasukan kerana masalah penerbangan, Cheng Hoe tidak melihat perkara
itu memberi kelebihan buat pasukan kebangsaan.
“Saya diberitahu mereka lewat
menyertai kem latihan Vietnam namun dakwaan mereka bergelut dengan prestasi
kerana kurang minit permainan tidak benar.
“Bagi saya kelewatan mereka tak
beri apa-apa kesan kepada kita. Mereka bukannya tidak pernah beraksi bersama
Vietnam, walaupun jarang bersama saya tidak fikir mereka ada masalah
persefahaman,” katanya lagi.
Penyerang Vietnam, Cong Phuong
yang bermain buat kelab Belgium, Sint-Truiden tiba di Hanoi semalam manakala
pertahanan, Van Hau yang bermain bersama Heerenveen terpaksa transit sehari di
Rusia ekoran cuaca buruk.
SUMBER-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 09
Oktober 2019 9:49 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan