SUKAN»Bola
Rabu, 5 Jun 2019 | 2:26pm
Pemain pasukan Malaysia pada perlawanan persahabatan
antarabangsa menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil, minggu lalu. -
NSTP/Eizairi Shamsudin
Harimau Malaya perlu sedia 'mengaum'
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya perlu bersedia dengan
sebarang kemungkinan khususnya keadaan padang yang tidak memuaskan selepas
Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kekal menjadi venue bagi dua perlawanan
'play-off' Kelayakan Piala Dunia 2022 bertemu Timor Leste, 7 dan 11 Jun ini.
Meskipun berdepan rungutan pengendali skuad kebangsaan,
Tan Cheng Hoe susulan keadaan padang ketika bertemu Nepal namun Setiausaha
Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan
pihaknya tidak merancang untuk memindahkan perlawanan ke venue lain.
"Venue tidak akan bertukar dan perlawanan akan
berlangsung seperti yang sudah dirancang. Namun kita akui permukaan padang
tetap perlu ditambahbaik bagi aksi bertemu Timor Leste.
"Apapun, pihak kita sudah berhubung dengan
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berhubung masalah ini. PSM sudah memberi
jaminan bahawa keadaan permukaan padang akan diperbaiki dan ditambahbaik,"
katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.
Sementara itu, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak
Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John turut mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang
permintaan daripada FAM berhubung pertukaran venue bagi dua aksi 'play-off'
terbabit.
"Belum ada apa apa permintaan daripada FAM dan kita
tidak menerima permohonan untuk menukar venue," katanya.
Terdahulu, Cheng Hoe melontarkan perasaan kurang senang
terhadap keadaan permukaan padang di stadium terbabit selepas berakhirnya aksi
persahabatan menentang Nepal, Ahad lalu.
Bekas ketua jurulatih Kedah itu menjelaskan keadaan
padang di gelanggang rasmi Harimau Malaya itu nyata menjejaskan persembahan
anak buahnya pada aksi terbabit dan lebih merisaukan, venue sama akan turut
digunakan bagi aksi 'play-off' Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor
Leste.
Bagaimanapun, PSM akan berusaha sebaik mungkin bagi
memastikan permukaan padang di stadium terbabit kekal ideal dan bersedia
sepenuhnya untuk aksi penting terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Nik Razeen Adam Daud
memandang serius mengenai rungutan Cheng Hoe dengan pihaknya akan terus
melakukan penyelenggaraan terhadap permukaan padang di venue itu sehinggalah
hari perlawanan berlangsung.
Jadual aksi 'play-off' Kelayakan Piala Dunia 2022
Malaysia mln Timor Leste, Jumaat, 8.45 malam
Timor Leste mln Malaysia, 11 Jun, 8.45 malam
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 5 Jun 2019 | 2:26pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan