Isnin, 3 September 2018 | 9:00pm
SKUAD Kebangsaan menjalani
latihan persiapan menjelang aksi persahabatan antarabangsa menentang Taiwan di
Padang Kompleks Sukan USIM. - Foto ADZLAN SIDEK
Matyo kembali!
Oleh Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
NILAI: Skuad Harimau Malaya
mengharapkan kudrat Norshahrul Idlan Talaha untuk menggempur kubu Taiwan pada
aksi persahabatan antarabangsa di Taipei City, Jumaat ini selepas penyerang
muda sensasi Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad tidak dapat bersama pasukan.
Safawi yang meledak empat gol
ketika membantu skuad bawah 23 (B-23) tahun negara mara ke pusingan kedua Sukan
Asia Jakarta-Palembang 2018 dilepaskan jurulatih Tan Cheng Hoe atas faktor
kepenatan manakala Syafiq pula meminta pengecualian kerana baru menimang cahaya
mata.
Turut tidak bersama 23 lagi
pemain pada hari pertama latihan pusat hari ini adalah Rizal Ghazali kerana
cedera lutut dan Adam Nor Azlin yang turut mengadu kepenatan.
Situasi itu menyaksikan Cheng Hoe
hanya memiliki Zaquan Adha Abd Radzak, Shahrel Fikri Md Fauzi, Akhyar Rashid, R
Kogileswaran serta Norshahrul untuk mengisi jentera serangan.
Bagi Norshahrul, 32, yang kali
terakhir menyarung jersi kebangsaan pada kempen Piala AFF di Yangon, Myanmar
dua tahun lalu berkata, dia bersedia untuk menggalas kepercayaan yang diberikan
oleh Cheng Hoe.
“Saya tak terfikir (dipanggil
semula) cuma bila saya main untuk Pahang saya beri lebih daripada 100 peratus,
Alhamdulillah jurulatih panggil saya untuk bantu pasukan ini,” katanya ketika
ditemui pada sesi latihan hari ini.
Norshahrul atau turut dikenali
sebagai Matyo antara tonggak ketika Harimau Malaya merangkul kejuaraan Piala
AFF 2010 di Jakarta.
Namun, dia gagal membantu pasukan
dalam tiga edisi seterusnya termasuk di Yangon, Myanmar di mana skuad kendalian
Datuk Ong Kim Swee terkandas di peringkat kumpulan.
Norshahrul berkata, dia masih
bersemangat untuk memburu tempat dalam skuad ke Piala AFF tahun ini meskipun
terpaksa bersaing dengan pemain muda yang semakin meningkat.
“Saya tengok pemain muda sekarang
ramai juga berbakat dan boleh bermain di peringkat antarabangsa, jadi sudah
tentu saingan sengit untuk rebut kesebelasan utama nanti,” katanya.
Selepas aksi menentang Taiwan,
skuad kebangsaan akan ke Phnom Penh bagi satu lagi aksi persahabatan kelas A
menentang Kemboja pada 10 September ini.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin,
3 September 2018 | 9:00pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan