ARKIB : 28/11/2012
PETALING JAYA - Bagai jatuh, ditimpa tangga... Sudahlah bakal berdepan perlawanan hidup mati dengan Laos pada malam ini yang akan menentukan sejauh mana peluang Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF yang dimenangi dua tahun lalu, mereka perlu melakukannya tanpa khidmat penyerang prolifik, Norshahrul Idlan Talaha.
Disahkan mengalami masalah kesihatan dan sedang menjalani rawatan, kelibatnya langsung tidak kelihatan pada sesi latihan terakhir di Wisma FAM petang semalam, sekali gus mengesahkan yang bakal pemain Johor itu hampir pasti tidak akan beraksi pada perlawanan malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Diketahui merupakan gandingan paling ideal kepada penyerang Arema Pelita, Safee Sali, ketiadaan Norshahrul mungkin memaksa jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal melakukan rombakan di bahagian depan dengan Ahmad Hazwan Bakri sebagai pilihan utama.
Walaupun masih muda, Hazwan diketahui antara penyerang muda paling berbakat di negara ini selain Rozaimi Abdul Rahman dan aksi hatriknya semasa 'cap' pertama dengan Harimau Malaya ketika membelasah Sri Lanka 6-0 dalam perlawanan persahabatan masih tidak dilupakan.
Justeru, khidmat pemain yang berasal dari Labuan ini dijangka ditagih oleh Rajagobal bagi mencari kemenangan pertama Harimau Malaya di Piala Suzuki AFF 2012 selain memperlihatkan alternatif-alternatif lain seperti menyenaraikan Khyril Muhymeen atau Ahmad Fakri Saarani di barisan serangan.
Ketika ditemui, Hazwan Bakri berkata dia cukup bersedia memikul tugasan diberikan jika mendapat kepercayaan jurulatih untuk diturunkan dalam perlawanan berdepan Laos.
Walaupun mengakui masih mentah jika dibandingkan dengan pemain-pemain yang lain, dia sanggup belajar dan berusaha untuk membantu Harimau Malaya untuk bangkit menebus maruah yang tercalar selepas kalah dengan cara memalukan di tangan Singapura.
Sementara itu, Safee berasakan ketiadaan Norshahrul memang bukan satu petanda yang baik tetapi bersedia jika digandingkan dengan sesiapa sahaja asalkan dapat membantu skuad negara meraih tiga mata penting.
"Itu merupakan satu khabar yang kurang baik bagi perlawanan esok (hari ini), namun semua pemain bersedia walaupun tanpa kehadiran Norshahrul dan saya boleh bermain dengan mana-mana penyerang lain. Saya berharap aksi kami ketika berdepan Laos akan lebih baik," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121128/su_03/Ketiadaan-Norshahrul-petanda-kurang-baik#ixzz45wvzjWj6 © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan