AIMAN SADIQ ABDULLAH | 09 Mar
2019
Dollah Salleh
KUANTAN - Pengendali Pahang,
Dollah Salleh tidak pernah menyalahkan Norshahrul Idlan Talaha selepas
penyerang tersebut melepaskan peluang menyempurnakan sepakan penalti ketika
menentang Kedah, semalam.
Dollah berkata, Norshahrul yang
lebih dikenali sebagai Mat Yo turut kecewa kerana terlepas peluang tersebut
kerana jaringan tersebut akan mampu memberi tekanan kepada pasukan lawan.
"Ini bola sepak, macam-macam
berlaku..Mat Yo sendiri kecewa kerana dia melepaskan peluang sepakan penalti
untuk membantu pasukan.
"Namun, dia (Norshahrul)
masih bermain dengan baik sepanjang perlawanan kerana dapat mengekalkan corak
permainan untuk bersama mendapatkan gol buat pasukan," katanya ketika
ditemui dalam sidang media selepas perlawanan tersebut di Stadium Darul Makmur
di sini.
Perlawanan di Stadium Darul
Makmur malam tadi menyaksikan pengadil perlawanan Mohammad Zamzaidi Katimin
memberikan sepakan penalti selepas skuad Helang Merah, Baddrol Bakhtiar
menjatuhkan Dickson Nwakaeme di dalam kotak penalti pada minit ke-26.
Namun, sepakan Norshahrul ditepis
keluar penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.
Bagaimanapun, pemain gantian,
Zuhair Aizat Mohd Nazri penyelamat bagi Tok Gajah apabila jaringan yang
dihasilkan lima minit sebelum perlawanan tamat memastikan Pahang mengutip tiga
mata.
Dalam pada itu, ditanya tentang
perlawanan itu, Dollah berbangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan pemain
yang tidak mengenal erti putus asa untuk mendapat kemenangan di tempat sendiri.
Menurutnya, detik mendebarkan
dirinya berakhir apabila Zuhair berjaya menjaringkan gol sebelum tamat
perlawanan.
"Saya gembira kerana dengan
kejayaan pemain malam tadi (semalam), kita dapat mengukuhkan kedudukan pasukan
dalam carta Liga Super.
"Bagi saya, semua pemain
beraksi dengan baik dan mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol
tetapi dinafikan pertahanan lawan.
"Kita juga menguasai 65
peratus permainan dan kemenangan ini memberi lebih keyakinan kepada pemain
untuk mengekalkan prestasi ini pada perlawanan akan datang," katanya.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 09 Mar
2019
Tiada ulasan:
Catat Ulasan