Khamis, 14 Disember 2017

Pemain muda UPB-MyTeam mula garang

ARKIB : 06/01/2009
KUALA LUMPUR - Barisan pemain muda UPB-MyTeam membuktikan mereka perlu menjadi perhatian pasukan lain musim ini selepas membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi kelmarin, lapor FERZALFIE FAUZI.

Menurut jurulatihnya, Bojan Hodak tujuh orang pemainnya berusia 23 tahun ke bawah dan mereka berjaya menyerap tekanan dengan mempamerkan permainan mantap.

''Saya sangat gembira dengan kesemua pemain saya yang kebanyakannya masih muda dan saya harap mereka dapat mengekalkan keyakinan ini untuk perlawanan seterusnya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia kelmarin.

Jelas Bojan, kemenangan semalam memberikan kekuatan moral buat pasukannya yang akan berdepan Kelantan di gelanggang lawan hari ini.

''Kelebihan memang berpihak kepada Kelantan kerana mereka bukan sahaja bermain di tempat sendiri malah mempunyai rehat yang panjang selepas perlawanan pertama mereka dibatalkan akibat hujan.

''Bagaimanapun saya berharap pemain saya tidak gugup dan mengekalkan keyakinan tinggi seperti mana yang ditunjukkan ketikan mengalahkan PDRM,'' kata Bojan.

Menurut jurulatih kelahiran Croatia itu, dia amat berpuas hati dengan persembahan pasukannya secara keseluruhan kelmarin.

''Kita bermula dengan baik pada separuh masa pertama dan pada separuh masa kedua pemain saya bermain dengan tenang.

''Bagaimanapun mereka boleh lagi mempertingkatkan tahap permainan,'' kata Bojan.

Jurulatih itu juga memuji tahap permainan yang ditunjukkan oleh penyerangnya, Norshahrul Idlan Tahala yang menjaringkan dua gol.

''Dia (Norshahrul) seorang penyerang yang bagus dan saya harap dia mampu menjadi penjaring utama di dalam Liga Super musim ini.

''Saya juga terpanggil untuk memuji pemain muda, Mohd. Fazrul Hazli walaupun berusia 18 tahun dan kali pertama beraksi untuk pasukan utama dia sudah berjaya bermain dengan baik serta menjaringkan gol,'' kata Bojan.

Norshahrul menjaringkan dua gol pada minit ke-34 dan 36, manakala gol pembukaan MyTeam menjelma pada minit ke-16 oleh Fazrul yang bermain untuk pasukan Piala Presiden musim lalu.

Luka PDRM bertambah parah apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Rosaiful Nizam Md. Nor dilayangkan kad merah pada minit ke-68.

Manakala penjaga gol MyTeam, Syed Adney Syed Hussein juga beraksi cemerlang selepas menyelamatkan sepakan penalti pemain PDRM, Talfizam Taufik pada minit ke-43.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz51I3yphus

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 12 Disember 2017

UPB-MyTeam kekal pemain lama

ARKIB : 02/11/2008
KUALA LUMPUR - UPB-MyTeam mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu dengan keyakinan mereka mampu memperbaiki pencapaian pasukan itu dalam kempen Liga Super musim depan, lapor SAYED HESHAM IDRIS.

Pengurus pasukan, Yakub Hussaini berkata, para pemain terbabit diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran MyTeam walaupun pasukan itu menduduki tempat ketiga tercorot musim lalu.

Menurutnya, walaupun dari segi pencapaian dalam liga pasukan MyTeam agak kurang menyerlah namun kemampuan barisan muda skuad itu mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia disifatkan satu pencapaian membanggakan.

''Kami akui agak kurang menyerlah dalam saingan Liga Super kerana prestasi pasukan merosot di pertengahan musim.

''Bagaimanapun para pemain mula mempamer kebangkitan dalam saingan Piala Malaysia.

''Mereka mula mempamer peningkatan di sepanjang kempen Piala Malaysia sehingga mara ke suku akhir.

''Para pemain inilah yang dikekalkan kerana kita yakin mereka mampu meneruskan persembahan cemerlang seperti mana dalam saingan Piala Malaysia.

''Cuma kita perlu memperbaiki beberapa posisi yang kita rasakan agak lemah pada musim lalu dengan mendapatkan khidmat penyerang Kuala Lumpur, Stanley Bernard dan pertahanan kiri yang digugurkan daripada pasukan Harimau Muda, Hariri Safie.

''Untuk musim depan, kami tidak menyasarkan sebarang kejuaraan tetapi jika berjaya, ia merupakan satu bonus,'' katanya pada sesi pemilihan pemain untuk skuad Piala Presiden UPB-MyTeam di padang Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Pasukan yang diilhamkan meneruskan program realiti televisyen, MyTeam terus dibimbing oleh Bojan Hodak musim depan.

Pasukan itu mengekalkan penjaga gol Syed Adney Syed Hussien, pemain tengah Norshahrul Idlan Talaha, pertahanan Kaironnisam Sahabudin, Juzaili Samion dan Zamri Chin.

Sementara itu, lebih 200 peserta menghadiri sesi pemilihan skuad Piala Presiden UPB-MyTeam semalam.

Yakub berkata, para peserta terbabit terdiri daripada remaja berusia bawah 17 hingga 19 tahun dari sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Perak.

Menurutnya, para pemain terbabit bakal membarisi skuad Piala Presiden UPB-MyTeam musim depan.

''Pemilihan hari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan para peserta diuji tahap kemahiran dan stamina.

''Mereka yang terpilih ke peringkat seterusnya akan dipantau oleh jurulatih Jacob Joseph dan pembantunya, Nalla Thambi.

''Sesi pemilihan ini diteruskan esok (hari ini) untuk kita memilih 21 pemain yang bakal membarisi skuad Piala Presiden UPB-MyTeam,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz512ZB51me

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 12 November 2017

Mat Yo buru kesebelasan utama



Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my 
KEINGINAN untuk berada dalam kesebelasan utama serta bermain dalam setiap perlawanan menjadi tarikan utama kepada Norshahrul Idlan Talaha jika dia memilih untuk kembali menyarung jersi pasukan Kelantan pada musim depan.

Sambil mengakui sedang menimbangkan tawaran daripada pasukan bergelar The Red Warrior (TRW) itu, Norshahrul atau lebih mesra dengan panggilan Mat Yo berkata peluang beraksi sebagai pemain utama adalah sesuatu yang dicarinya sekarang berbanding gaji lumayan.

“Sebagai pemain, saya pernah menikmati kehidupan selesa dengan gaji yang tinggi. Saya tidak nafikan pendapatan adalah sesuatu yang penting tapi ia bukan lagi menjadi buruan saya sekarang.

“Apa yang saya mahukan adalah menikmati setiap perlawanan dengan beraksi di tengah padang, bukan sekadar memanaskan bangku simpanan atau menjadi pemain gantian.

“Keinginan ini mungkin sukar diperoleh jika saya kekal bersama FELDA (United) di mana sepanjang musim ini saya lebih banyak bertindak sebagai pemain gantian.
ADVERTISING

“Di samping itu, sebagai penyerang saya lebih selesa bermain di bahagian tengah berbanding di posisi sayap kerana lebih efektif jika diturunkan di posisi kegemaran saya.

“Ia sesuatu yang mengecewakan kerana saya yakin mampu memberi sumbangan lebih besar jika diturunkan dalam kesebelasan utama serta pada posisi yang bersesuaian.

“Begitu pun saya tidak menyalahkan jurulatih (B Sathianathan) kerana sudah pasti beliau mempunyai perancangan tersendiri serta yang terbaik untuk pasukan,” katanya.

Mat Yo mengakui dia telah dihubungi oleh seorang pegawai Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) baru-baru ini namun belum memberi kata putus terhadap tawaran yang dihulurkan.

Pada masa sama, menurut Mat Yo, FELDA turut menawarkan lanjutan kontrak semusim lagi selepas kontraknya berakhir baru-baru ini.

“Buat masa ini saya belum menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan. Saya memerlukan sedikit masa lagi untuk berfikir sebelum membuat keputusan.

“Saya melihat pengurusan baru KAFA begitu bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan.

“Malah, saya yakin mereka mampu menangani isu gaji yang sebelum ini menjadi masalah utama pasukan,” katanya.

KAFA dijangka mengumumkan barisan pemain bagi musim 2018 pada Sabtu ini dengan nama Mat Yo antara pemain yang disebut bakal menyertai pasukan itu bersama Wan Zack Haikal Wan Nor (FELDA United), Shakir Shaari (Johor Darul Ta’zim) dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (Pahang).

Untuk rekod Mat Yo pernah menyarung jersi TRW pada musim 2010 hingga 2012 serta membantu pasukan itu menjuarai pelbagai pertandingan domestik dengan pencapaian terbaik menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2012.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 12:52 PM

Jumaat, 20 Oktober 2017

Norshahrul gandingan baru Safee Sali



ARKIB : 07/12/2007

KORAT – Ibarat sirih pulang ke gagang menjadi gambaran tepat Norshahrul Idlan Talaha atas kepercayaan jurulatih skuad Bawah 23 Tahun negara, B. Sathianathan kepadanya sebagai gandingan baru barisan depan dengan Safee Sali untuk menghadapi Singapura, esok.

Posisi asal yang ditinggalkannya apabila menyertai UPB-MyTeam dalam Liga Malaysia, kembali didukungnya apabila melayari cabaran negara memburu salah satu tempat ke separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Korat di Stadium Universiti Teknologi Suranaree.

“Ini posisi yang agak lama saya tinggalkan ketika bersama Negeri Sembilan beberapa musim lalu kerana kerap dipanggil mewakili skuad belia negara sejak Kelayakan Olimpik lagi malah sempat ke Sukan Asia Doha tahun lalu.

“Dalam kebanyakan perlawanan antarabangsa, saya kerap bertindak selaku pemain tengah mahupun penyokong serangan,” kata anak muda berusia 21 tahun setinggi 1.70 meter ini selepas menjalani latihan di Padang Pangkalan Tentera Udara Thailand, semalam.

Tempat Norshahrul diuji dalam dua sesi latihan sejak kelmarin selepas Malaysia kehilangan khidmat gandingan utama Safee, Zaquan Adha Radzak yang mengumpul dua kad kuning menentang Vietnam dan Laos di gelanggang yang sama pada Sabtu dan Isnin lalu.

Namun anak jati Besut, Terengganu ini masih perlu bersaing untuk memastikan tempatnya tidak disambar oleh penyerang simpanan, Samransak Kram mahupun Safiq Rahim yang boleh bertindak sebagai penyokong serangan atau perancang dari tengah.

Dalam temasya dwitahunan ke-24 ini, dia hanya diturunkan pada babak kedua menentang Vietnam untuk menggantikan Safiq tetapi kemampuannya lebih menonjol sebaik sahaja masuk mengambil alih tempat ketua pasukan, Azi Shahril Azmi yang tercedera paha pada minit keempat menentang Laos.

Norshahrul sempat menjaringkan satu gol ke atas Lesotho dalam perlawanan peringkat kumpulan Pestabola Merdeka ketika Malaysia menang 4-0 di Shah Alam tetapi dari posisi tengah dan sejak itu dia masih berkemarau gol di pentas antarabangsa.

Pengalamannya dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia menentang Bahrain di Shah Alam pada 28 Oktober lalu mungkin mampu dimanfaatkan sekali gus membantu Malaysia melepasi Singapura sebagaimana mereka menang 3-1 dalam Pestabola.

Langkahnya mungkin agak mudah memandangkan pendahulu Kumpulan B ini kehilangan khidmat pemain tengah bertahan, Isa Halim yang dilayangkan kad merah dalam baki setengah jam perlawanan ketika mereka menewaskan Vietnam 3-2, Isnin lalu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4w30p28sT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 17 Oktober 2017

Malaysia 0 Maldives 1

ARKIB : 18/11/2007
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD 
PETALING JAYA – Skuad bola sepak bawah 23 tahun Malaysia yang bakal ke Sukan SEA Korat, bulan depan, menerima tamparan hebat selepas perlawanan persahabatan dengan Maldives di Stadium Petaling Jaya, semalam berkesudahan dengan tewas 0-1.

Mereka bukan sahaja kalah kepada skuad kebangsaan Maldives dengan jaringan Assad Abdul Ghani bahkan kehilangan satu lagi perlawanan persahabatan, Rabu ini dengan menentang skuad Olimpik Bostwana yang membatalkannya atas sebab tertentu.

Persediaan fasa akhir skuad bimbingan B. Sathianathan ke Sukan SEA bakal terjejas dengan berita terbaru ini selepas skuad kebangsaan Yemen turut membatalkannya Rabu lalu pada saat akhir kerana tidak mendapat penerbangan ke sini.

Kini hanya tinggal skuad bawah 23 tahun Indonesia menjadi ujian terakhir Malaysia di stadium yang sama pada 26 November ini sebelum mereka mengharungi persaingan Kumpulan B di Korat dengan Vietnam, Singapura dan Laos mulai 1 Disember.

Semalam, skuad negara yang dilatih sementara oleh Zaki Sheikh Ahmad dan menurunkan sebahagian besar barisan utama, menunjukkan penguasaan perlawanan dengan memiliki lima percubaan yang sepatutnya mampu menghasilkan gol.

Namun, Malaysia masih kempunan gol daripada rembatan Safee Sali pada minit ketiga dan 75, Zaquan Adha Radzak (29), Amirulhadi Zainal (76) dan Khyril Muhymeen Zambri (83) yang kesemuanya akibat hadangan baik penjaga gol Maldives, Hassan Rameez.

Dibimbing jurulatih Slovakia, Jozef Jankech, Maldives bagaimanapun menyambar gol tunggal menerusi sepakan sudut pada minit ke-47 apabila Assad yang dibiarkan bergerak bebas benteng Malaysia, menanduk masuk menewaskan Syed Adney Syed Hussein.

Malaysia masih gagal mengambil kesempatan biarpun Maldives yang disekat Yemen dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia, baru-baru ini, bermain dengan 10 orang kerana pemainnya, Sabah Mohamed Ibrahim dilayangkan kad merah pada minit ke-53.

Kata Zaki pada sidang akhbar selepas perlawanan: ‘‘Kami sepatutnya menyambar banyak peluang itu apatah lagi menguasai perlawanan tetapi saya tidak nampak bermain sebelah petang menjadi salah satu punca kegagalan ini. Pemain hanya gagal menjaringkan gol.

‘‘Pembatalan perlawanan dengan Bostwana pula bukan satu berita baik bagi pasukan selepas gagal menentang Yemen. Ia menjejaskan persediaan kami ke Sukan SEA dan mengurangkan kemampuan untuk terus menguji pasukan.’’

MALAYSIA: Syed Adney Syed Hussein (Farizal Marlias), S. Subramaniam, Bunyamin Umar (Norshahrul Idlan Talaha), Zaquan Adha Radzak (Safiq Rahim), Khyril Muhymeen Zambri, Daudsu Jamaludin (Chun Keng Hong), Syamsol Sabtu, Safee Sali, Sumardi Hajalan, Amirulhadi Zainal, Azi Shahril Azmi (Nor Farhan Muhammad).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vpQhYCHK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 13 Oktober 2017

Malaysia ke separuh akhir

ARKIB : 26/08/2007
Oleh: AMRAN MULUP
 
MOHD. Shukor Adan (dua dari kanan) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pertama pada perlawanan peringkat Kumpulan A Pesta Bola Merdeka 2007 di Stadium MBPJ, semalam.

PETALING JAYA – Aksi paling mantap lagi menarik mewarnai persembahan barisan muda skuad kebangsaan untuk melangkah dengan bergaya ke separuh akhir selepas membelasah wakil dari Afrika, Lesotho 4-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A pada Kejohanan Pesta Bola Merdeka Edisi ke-39 di Stadium MBPJ, semalam.

Kemenangan yang dicari menjadi realiti buat anak didik B. Sathianathan mempamerkan penguasaan menarik menenggelamkan kehebatan skil individu Lesotho dengan empat gol menerusi Mohd. Shukor Adan (m-44), Mohd. Khyril Muhymeen (m-47), Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak (m-50) dan Norshahrul Idlan Talaha (m-59).

Kejayaan itu membolehkan Malaysia muncul selaku naib juara daripada Kumpulan A di belakang juara kumpulan, Myanmar yang menewaskan Laos 1-0 dalam perlawanan lain di Stadium Shah Alam.

Kemaraan itu bagaimanapun akan menemukan Malaysia dengan seteru utama, Singapura dalam saingan separuh akhir yang dijangka paling menarik berlangsung di Stadium Shah Alam, malam esok.

Singapura muncul juara Kumpulan A selepas menewaskan Indonesia 2-0 dalam perlawanan terdahulu untuk mengekalkan rekod tanpa kalah bagi mengutip sembilan mata.

Dalam saingan separuh akhir yang lain pula, penyandang juara Myanmar turut mengekalkan rekod tanpa kalah untuk muncul juara Kumpulan B dan akan berdepan Zimbabwe selaku naib juara Kumpulan B.

Zimbabwe pula melangkah ke separuh akhir dengan bergaya walaupun sekadar menang tipis 2-1 ke atas Bangladesh.

Malam penuh bermakna walaupun disaksikan hanya 3,000 penyokong melihat aksi paling ampuh barisan muda negara yang akan membuat penampilan di Sukan Sea Korat Disember ini.

Di sebalik tunduk 1-2 kepada Myanmar dalam perlawanan kedua, peluang seakan sudah tertutup ketika Lesotho menunjukkan peningkatan namun aksi anak didik Sathianathan jauh berbeza daripada sebelumnya.

Tempoh 11 minit babak pertama berlangsung menyaksikan penguasaan skuad kebangsaan bagaikan ‘singa lapar’ mencari gol pendahuluan.

Beberapa percubaan bagaimanapun tidak menemui sasaran.

Namun gol pendahuluan yang dicari jelas memihak kepada skuad kebangsaan pada minit-minit terakhir sebelum rehat.

Bermula daripada sepakan sudut Norshahrul Idlan Talaha terus ke depan pintu gol lawan dan Mohd. Shukor melonjakkan diri untuk menanduk masuk menewaskan Phasumane menggamatkan seketika Stadium MBPJ.

Dua minit babak kedua bermula Malaysia menggegarkan lagi stadium apabila lorongan Samransak disudahkan dengan tandukan cantik Mohd. Khyril.

Pada minit ke-50 gol ketiga Malaysia menyusul dengan giliran Mohd. Zaquan membuat larian solo menewaskan seorang pertahanan Lesotho sebelum menolak ke sebelah kanan menewaskan Phasumane.

Gol keempat kemudiannya meranapkan terus harapan Lesotho hadir di minit ke-59 menerusi Norshahrul Idlan Talaha.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vRQUcolH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jangan perkecil Laos – Sathia -- Pesta Bola Merdeka 2007



ARKIB : 20/08/2007

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

SHAH ALAM – Jurulatih skuad Bawah 23 Tahun Malaysia, B. Sathianathan mengingatkan anak- buahnya supaya tidak sesekali memperkecilkan kemampuan mana-mana lawan termasuk Laos yang akan menjadi lawan pertama negara pada Pesta Bola Merdeka ke-39 bermula hari ini.

Katanya, perlawanan pertama seperti menentang Laos dalam Kumpulan A di Stadium Petaling Jaya ini sentiasa sukar bagi sesiapa pun apatah lagi selepas skuad bola sepak negara dikecam hebat kerana dibelasah teruk dalam Piala Asia, bulan lalu.

‘‘Kami mengakui tekanan daripada peminat memang hebat terutama selepas keputusan pada Piala Asia lalu dan kami menganggapnya dan menghadapinya sebagai satu cabaran sambil tidak akan memperkecilkan mana-mana lawan dalam Pesta Bola termasuk Myanmar dan Lesotho.

‘‘Myanmar merupakan juara tahun lalu dan Lesotho khabarnya memiliki beberapa pemain yang berpengalaman Liga Afrika Selatan selain mencatat keputusan baik dalam Kelayakan Piala Negara-negara Afrika,” katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini, semalam.

Sathianathan turut mendedahkan permintaannya supaya pasukannya dibenarkan bermain sehari kemudian (esok) ditolak jawatankuasa penganjur memandangkan mereka baru kembali ke tanah air selepas siri persahabatan di Slovakia, kelmarin.

‘‘Pemain masih penat dan tiada rehat tetapi saya tidak mahu menjadikannya alasan apabila menentang Laos kerana saya yakin mereka masih mampu memberikan yang terbaik,” katanya merujuk keputusan dua kekalahan, satu seri dan menang sekali dengan empat kelab Slovakia itu.

Skuad Bawah 23 Tahun ini turut menyenaraikan tiga lagi pemain daripada skuad Piala Asia iaitu Shukor Adan yang dilantik sebagai ketua pasukan; Norhafiz Zamani Misbah dan V. Thirumurugan selain tiga yang dipanggil ketika ke Slovakia, Safee Sali, Nor Farhan Muhammad dan Aidil Zafuan Radzak.

‘‘Mereka dipanggil kerana kami kehilangan ramai tonggak pertahanan dan tengah seperti S. Subramaniam, Bunyamin Omar dan Safiq Rahim serta Sabre Mat Abu masing-masing akibat kecederaan ketika Piala Malaysia, Piala Juara-Juara Belia (CYC) dan masalah peribadi,” katanya.

Penolong pengurus pasukan Laos, Oudom Sengsirivanh berkata, mereka menyenaraikan tujuh atau lapan pemain senior ke kejohanan ini manakala selebihnya dibarisi ramai pemain skuad Bawah 20 Tahun pada Kejohanan AFF di Kota Ho Chi Minh, baru-baru ini.

‘‘Pesta Bola ialah sebahagian persediaan pasukan belia (bawah 23 tahun) kami ke Sukan SEA Korat (Disember ini) memandangkan ada beberapa pemain senior kami yang berpangkalan dan masih bermain dengan kelab di Hanoi, Vietnam,” katanya yang ditemani jurulatih, Khamsay Chanthavong.

Sementara itu, jawatankuasa penganjur bersetuju mengawalkan kesemua perlawanan kedua ke pukul 8.45 malam dari 9 malam seperti yang dijadualkan pada mulanya manakala perlawanan pertama kekal 6.30 petang atas permintaan wakil media massa.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Che Mat Jusoh berkata, dua pasukan bagi perlawanan kedua akan diarahkan membuat sesi pemanas badan sama ada dalam kawasan stadium atau luar padang kira-kira 25 minit sebelumnya seperti dikehendaki peraturan antarabangsa.

Harga tiket kesemua perlawanan peringkat kumpulan ialah RM15 untuk semua kawasan tempat duduk manakala RM20 bagi kedua- dua perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir.

SKUAD MALAYSIA

Syed Adney Syed Hussein, Nasril Nourdin, Nor Farhan Muhammad, Norshahrul Idlan Talaha, Khyril Muhymeen Zambri, Norhafiz Zamani Misbah, Daudsu Jamaluddin, Safee Sali, V. Thirumurugan, Shukor Adan, Azi Shahril Azmi, Samransak Kram, Aidil Zafuan Radzak, Syamsol Sabtu, Zaquan Adha Radzak, Amirulhadi Zainal, Sumardi Hajalan, Shahurein Abu Samah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vOprw2UM
© Utusan Melayu (M) Bhd