Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
PETALING JAYA Skuad bola
sepak bawah 23 tahun Malaysia yang bakal ke Sukan SEA Korat, bulan depan,
menerima tamparan hebat selepas perlawanan persahabatan dengan Maldives di
Stadium Petaling Jaya, semalam berkesudahan dengan tewas 0-1.
Mereka bukan sahaja kalah
kepada skuad kebangsaan Maldives dengan jaringan Assad Abdul Ghani bahkan
kehilangan satu lagi perlawanan persahabatan, Rabu ini dengan menentang skuad
Olimpik Bostwana yang membatalkannya atas sebab tertentu.
Persediaan fasa akhir skuad
bimbingan B. Sathianathan ke Sukan SEA bakal terjejas dengan berita terbaru ini
selepas skuad kebangsaan Yemen turut membatalkannya Rabu lalu pada saat akhir
kerana tidak mendapat penerbangan ke sini.
Kini hanya tinggal skuad bawah
23 tahun Indonesia menjadi ujian terakhir Malaysia di stadium yang sama pada 26
November ini sebelum mereka mengharungi persaingan Kumpulan B di Korat dengan
Vietnam, Singapura dan Laos mulai 1 Disember.
Semalam, skuad negara yang
dilatih sementara oleh Zaki Sheikh Ahmad dan menurunkan sebahagian besar
barisan utama, menunjukkan penguasaan perlawanan dengan memiliki lima percubaan
yang sepatutnya mampu menghasilkan gol.
Namun, Malaysia masih kempunan
gol daripada rembatan Safee Sali pada minit ketiga dan 75, Zaquan Adha Radzak
(29), Amirulhadi Zainal (76) dan Khyril Muhymeen Zambri (83) yang kesemuanya
akibat hadangan baik penjaga gol Maldives, Hassan Rameez.
Dibimbing jurulatih Slovakia,
Jozef Jankech, Maldives bagaimanapun menyambar gol tunggal menerusi sepakan
sudut pada minit ke-47 apabila Assad yang dibiarkan bergerak bebas benteng
Malaysia, menanduk masuk menewaskan Syed Adney Syed Hussein.
Malaysia masih gagal mengambil
kesempatan biarpun Maldives yang disekat Yemen dalam pusingan pertama Kelayakan
Piala Dunia, baru-baru ini, bermain dengan 10 orang kerana pemainnya, Sabah
Mohamed Ibrahim dilayangkan kad merah pada minit ke-53.
Kata Zaki pada sidang akhbar
selepas perlawanan: Kami sepatutnya menyambar banyak peluang itu apatah lagi
menguasai perlawanan tetapi saya tidak nampak bermain sebelah petang menjadi
salah satu punca kegagalan ini. Pemain hanya gagal menjaringkan gol.
Pembatalan perlawanan dengan
Bostwana pula bukan satu berita baik bagi pasukan selepas gagal menentang
Yemen. Ia menjejaskan persediaan kami ke Sukan SEA dan mengurangkan kemampuan
untuk terus menguji pasukan.
MALAYSIA: Syed Adney Syed
Hussein (Farizal Marlias), S. Subramaniam, Bunyamin Umar (Norshahrul Idlan
Talaha), Zaquan Adha Radzak (Safiq Rahim), Khyril Muhymeen Zambri, Daudsu
Jamaludin (Chun Keng Hong), Syamsol Sabtu, Safee Sali, Sumardi Hajalan,
Amirulhadi Zainal, Azi Shahril Azmi (Nor Farhan Muhammad).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vpQhYCHK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan