ARKIB : 02/11/2008
KUALA LUMPUR - UPB-MyTeam
mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu dengan keyakinan mereka mampu
memperbaiki pencapaian pasukan itu dalam kempen Liga Super musim depan, lapor
SAYED HESHAM IDRIS.
Pengurus pasukan, Yakub
Hussaini berkata, para pemain terbabit diberi kepercayaan untuk menggalas
cabaran MyTeam walaupun pasukan itu menduduki tempat ketiga tercorot musim
lalu.
Menurutnya, walaupun dari segi
pencapaian dalam liga pasukan MyTeam agak kurang menyerlah namun kemampuan
barisan muda skuad itu mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia disifatkan
satu pencapaian membanggakan.
''Kami akui agak kurang
menyerlah dalam saingan Liga Super kerana prestasi pasukan merosot di
pertengahan musim.
''Bagaimanapun para pemain mula
mempamer kebangkitan dalam saingan Piala Malaysia.
''Mereka mula mempamer
peningkatan di sepanjang kempen Piala Malaysia sehingga mara ke suku akhir.
''Para pemain inilah yang
dikekalkan kerana kita yakin mereka mampu meneruskan persembahan cemerlang
seperti mana dalam saingan Piala Malaysia.
''Cuma kita perlu memperbaiki
beberapa posisi yang kita rasakan agak lemah pada musim lalu dengan mendapatkan
khidmat penyerang Kuala Lumpur, Stanley Bernard dan pertahanan kiri yang digugurkan
daripada pasukan Harimau Muda, Hariri Safie.
''Untuk musim depan, kami tidak
menyasarkan sebarang kejuaraan tetapi jika berjaya, ia merupakan satu bonus,''
katanya pada sesi pemilihan pemain untuk skuad Piala Presiden UPB-MyTeam di
padang Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.
Pasukan yang diilhamkan
meneruskan program realiti televisyen, MyTeam terus dibimbing oleh Bojan Hodak
musim depan.
Pasukan itu mengekalkan penjaga
gol Syed Adney Syed Hussien, pemain tengah Norshahrul Idlan Talaha, pertahanan Kaironnisam
Sahabudin, Juzaili Samion dan Zamri Chin.
Sementara itu, lebih 200
peserta menghadiri sesi pemilihan skuad Piala Presiden UPB-MyTeam semalam.
Yakub berkata, para peserta
terbabit terdiri daripada remaja berusia bawah 17 hingga 19 tahun dari sekitar
Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Perak.
Menurutnya, para pemain
terbabit bakal membarisi skuad Piala Presiden UPB-MyTeam musim depan.
''Pemilihan hari ini mendapat
sambutan menggalakkan dengan para peserta diuji tahap kemahiran dan stamina.
''Mereka yang terpilih ke
peringkat seterusnya akan dipantau oleh jurulatih Jacob Joseph dan pembantunya,
Nalla Thambi.
''Sesi pemilihan ini diteruskan
esok (hari ini) untuk kita memilih 21 pemain yang bakal membarisi skuad Piala
Presiden UPB-MyTeam,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz512ZB51me
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan