ARKIB : 06/01/2009
KUALA LUMPUR - Barisan pemain
muda UPB-MyTeam membuktikan mereka perlu menjadi perhatian pasukan lain musim
ini selepas membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 di Stadium Tunku Abdul
Rahman Paroi kelmarin, lapor FERZALFIE FAUZI.
Menurut jurulatihnya, Bojan
Hodak tujuh orang pemainnya berusia 23 tahun ke bawah dan mereka berjaya
menyerap tekanan dengan mempamerkan permainan mantap.
''Saya sangat gembira dengan
kesemua pemain saya yang kebanyakannya masih muda dan saya harap mereka dapat
mengekalkan keyakinan ini untuk perlawanan seterusnya,'' katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia kelmarin.
Jelas Bojan, kemenangan semalam
memberikan kekuatan moral buat pasukannya yang akan berdepan Kelantan di
gelanggang lawan hari ini.
''Kelebihan memang berpihak
kepada Kelantan kerana mereka bukan sahaja bermain di tempat sendiri malah
mempunyai rehat yang panjang selepas perlawanan pertama mereka dibatalkan
akibat hujan.
''Bagaimanapun saya berharap
pemain saya tidak gugup dan mengekalkan keyakinan tinggi seperti mana yang
ditunjukkan ketikan mengalahkan PDRM,'' kata Bojan.
Menurut jurulatih kelahiran
Croatia itu, dia amat berpuas hati dengan persembahan pasukannya secara
keseluruhan kelmarin.
''Kita bermula dengan baik pada
separuh masa pertama dan pada separuh masa kedua pemain saya bermain dengan
tenang.
''Bagaimanapun mereka boleh
lagi mempertingkatkan tahap permainan,'' kata Bojan.
Jurulatih itu juga memuji tahap
permainan yang ditunjukkan oleh penyerangnya, Norshahrul Idlan Tahala yang
menjaringkan dua gol.
''Dia (Norshahrul) seorang
penyerang yang bagus dan saya harap dia mampu menjadi penjaring utama di dalam
Liga Super musim ini.
''Saya juga terpanggil untuk
memuji pemain muda, Mohd. Fazrul Hazli walaupun berusia 18 tahun dan kali
pertama beraksi untuk pasukan utama dia sudah berjaya bermain dengan baik serta
menjaringkan gol,'' kata Bojan.
Norshahrul menjaringkan dua gol
pada minit ke-34 dan 36, manakala gol pembukaan MyTeam menjelma pada minit
ke-16 oleh Fazrul yang bermain untuk pasukan Piala Presiden musim lalu.
Luka PDRM bertambah parah
apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Rosaiful Nizam Md. Nor
dilayangkan kad merah pada minit ke-68.
Manakala penjaga gol MyTeam,
Syed Adney Syed Hussein juga beraksi cemerlang selepas menyelamatkan sepakan
penalti pemain PDRM, Talfizam Taufik pada minit ke-43.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz51I3yphus
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan