SUKAN»Bola
Rabu, 29 Mei 2019 | 6:18pm
PEMAIN Malaysia, Norshahrul Idlan
Talaha. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
'Kerana negara dan Cheng Hoe'
Oleh Zulfaizan Mansor
zulfaizan@mediaprima.com.my
KUALA LUMPUR: Jika bukan kerana
Tan Cheng Hoe, penyerang Harimau Malaya Norshahrul Idlan Talaha mungkin sudah
bersara daripada bola sepak antarabangsa.
Namun, Norshahrul atau Mat Yo
setuju menyahut panggilan ketua jurulatih Harimau Malaya itu demi membantu
skuad negara mencipta sesuatu ketika usianya sudah mencecah 33 tahun.
Penyerang berasal dari Terengganu
itu tidak menganggap penyertaan bersama skuad Harimau Malaya kerana terpaksa,
sebaliknya akan membalas segala kepercayaan diberikan jurulatih.
"Jurulatih Tan (Cheng Hoe)
ada menghubungi saya, dia cakap saya masih boleh bermain lagi. Kalau boleh dia
nak saya bantu skuad ini, pasukan Malaysia.
"Jadi saya harap bila saya
kembali ini, saya harap rakan yang lain dapat memberi kerjasama dalam setiap
perlawanan.
"Saya akan balas balik
kepercayaan dia (Cheng Hoe), perlawanan demi perlawanan saya akan buktikan saya
mampu, dan dapat balas balik kepercayaan jurulatih," katanya.
Kehadiran Mat Yo bersama pemain
naturalisasi, Mohamadou Sumareh pada hari kedua latihan pusat malam tadi pasti
melegakan Cheng Hoe selepas dua pemain itu tidak melaporkan diri pada hari
pertama latihan, Isnin lalu.
Mat Yo sudah membuktikan
sentuhannya masih berbisa apabila menjadi penjaring terbanyak Harimau Malaya
dalam kempen Piala AFF tahun lalu selepas meledak lima gol.
SUMBER BERITA HARIAN ONLINE Rabu,
29 Mei 2019 | 6:18pm