Isnin, 20 Mei 2019

Durakovic puas rantai Tok Gajah


MyMetroArena
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
PENGENDALI Perak, Mehmed Durakovic bangga dengan pencapaian skuad itu berjaya mengikat Pahang 0-0  di Stadium Darul Makmur,  semalam.

Biarpun bertandang ke gelanggang lawan dengan misi untuk mencuri tiga mata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

"Sudah pasti kami bertandang ke sini bukan untuk seri, tapi keputusan malam ini (semalam) sudah memadai kerana pemain memberikan yang terbaik.

"Saya gembira kerana kami mengutip satu mata ketika beberapa pemain tidak cergas sepenuhnya sebelum perlawanan dan kita akan tampil dengan lebih baik pada perlawanan selepas ini menentang Melaka United," katanya.

Sementara itu, pemain tengah The Bos Gaurus, Brendan Gan berpuas hati kerana dapat membantu skuad itu meraih satu mata di tempat lawan.

"Kami berusaha untuk mendapatkan gol tetapi dinafikan pertahanan lawan. Tapi, saya tetap bangga dengan kesungguhan dan semangat ditunjukkan semua pemain pada perlawanan ini," katanya.

Selepas 14 perlawanan, Perak merekodkan sembilan keputusan seri, termasuk pertemuan dengan Pahang malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad The Bos Gaurus berada di tangga keenam Liga Super dengan mengutip 18 mata.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 5:32 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan