Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh berterima kasih kepada anak buahnya kerana menamatkan badi seri tiga perlawanan berturut-turut selepas menewaskan PKNS FC 1-0 pada aksi Liga Super, malam tadi.
Beliau berkata, kemenangan itu cukup bermakna berikutan kegagalan mencatat kemenangan ketika bertemu PKNP FC, Perak dan Melaka United selepas muncul juara Piala FA.
“Sebenarnya, saya simpati dengan pemain kerana mereka tidak dapat mempamer persembahan terbaik atas faktor keletihan hingga menjejaskan prestasi pasukan.
“Saya juga tidak boleh memaksa mereka untuk mengekalkan prestasi dan hanya mengharapkan keputusan terbaik dapat diraih dengan barisan pemain sedia ada.
“Saya beryukur kerana kami menamatkan perlawanan keempat dengan kemenangan bukan saja atas faktor keletihan, malah kecederaan yang dialami beberapa pemain utama,” katanya.
Dollah mengakui mereka bermain secara bertahan terutama pada babak kedua untuk memastikan tiga mata.
“Namun, saya beryukur kerana dengan satu-satunya peluang yang dimiliki pada babak pertama, kami berjaya menjaringkan gol menerusi Issey Nakajima-Farran.”
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 1:24 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan