Khamis, 14 Disember 2017

Pemain muda UPB-MyTeam mula garang

ARKIB : 06/01/2009
KUALA LUMPUR - Barisan pemain muda UPB-MyTeam membuktikan mereka perlu menjadi perhatian pasukan lain musim ini selepas membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi kelmarin, lapor FERZALFIE FAUZI.

Menurut jurulatihnya, Bojan Hodak tujuh orang pemainnya berusia 23 tahun ke bawah dan mereka berjaya menyerap tekanan dengan mempamerkan permainan mantap.

''Saya sangat gembira dengan kesemua pemain saya yang kebanyakannya masih muda dan saya harap mereka dapat mengekalkan keyakinan ini untuk perlawanan seterusnya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia kelmarin.

Jelas Bojan, kemenangan semalam memberikan kekuatan moral buat pasukannya yang akan berdepan Kelantan di gelanggang lawan hari ini.

''Kelebihan memang berpihak kepada Kelantan kerana mereka bukan sahaja bermain di tempat sendiri malah mempunyai rehat yang panjang selepas perlawanan pertama mereka dibatalkan akibat hujan.

''Bagaimanapun saya berharap pemain saya tidak gugup dan mengekalkan keyakinan tinggi seperti mana yang ditunjukkan ketikan mengalahkan PDRM,'' kata Bojan.

Menurut jurulatih kelahiran Croatia itu, dia amat berpuas hati dengan persembahan pasukannya secara keseluruhan kelmarin.

''Kita bermula dengan baik pada separuh masa pertama dan pada separuh masa kedua pemain saya bermain dengan tenang.

''Bagaimanapun mereka boleh lagi mempertingkatkan tahap permainan,'' kata Bojan.

Jurulatih itu juga memuji tahap permainan yang ditunjukkan oleh penyerangnya, Norshahrul Idlan Tahala yang menjaringkan dua gol.

''Dia (Norshahrul) seorang penyerang yang bagus dan saya harap dia mampu menjadi penjaring utama di dalam Liga Super musim ini.

''Saya juga terpanggil untuk memuji pemain muda, Mohd. Fazrul Hazli walaupun berusia 18 tahun dan kali pertama beraksi untuk pasukan utama dia sudah berjaya bermain dengan baik serta menjaringkan gol,'' kata Bojan.

Norshahrul menjaringkan dua gol pada minit ke-34 dan 36, manakala gol pembukaan MyTeam menjelma pada minit ke-16 oleh Fazrul yang bermain untuk pasukan Piala Presiden musim lalu.

Luka PDRM bertambah parah apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Rosaiful Nizam Md. Nor dilayangkan kad merah pada minit ke-68.

Manakala penjaga gol MyTeam, Syed Adney Syed Hussein juga beraksi cemerlang selepas menyelamatkan sepakan penalti pemain PDRM, Talfizam Taufik pada minit ke-43.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz51I3yphus

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 12 Disember 2017

UPB-MyTeam kekal pemain lama

ARKIB : 02/11/2008
KUALA LUMPUR - UPB-MyTeam mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu dengan keyakinan mereka mampu memperbaiki pencapaian pasukan itu dalam kempen Liga Super musim depan, lapor SAYED HESHAM IDRIS.

Pengurus pasukan, Yakub Hussaini berkata, para pemain terbabit diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran MyTeam walaupun pasukan itu menduduki tempat ketiga tercorot musim lalu.

Menurutnya, walaupun dari segi pencapaian dalam liga pasukan MyTeam agak kurang menyerlah namun kemampuan barisan muda skuad itu mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia disifatkan satu pencapaian membanggakan.

''Kami akui agak kurang menyerlah dalam saingan Liga Super kerana prestasi pasukan merosot di pertengahan musim.

''Bagaimanapun para pemain mula mempamer kebangkitan dalam saingan Piala Malaysia.

''Mereka mula mempamer peningkatan di sepanjang kempen Piala Malaysia sehingga mara ke suku akhir.

''Para pemain inilah yang dikekalkan kerana kita yakin mereka mampu meneruskan persembahan cemerlang seperti mana dalam saingan Piala Malaysia.

''Cuma kita perlu memperbaiki beberapa posisi yang kita rasakan agak lemah pada musim lalu dengan mendapatkan khidmat penyerang Kuala Lumpur, Stanley Bernard dan pertahanan kiri yang digugurkan daripada pasukan Harimau Muda, Hariri Safie.

''Untuk musim depan, kami tidak menyasarkan sebarang kejuaraan tetapi jika berjaya, ia merupakan satu bonus,'' katanya pada sesi pemilihan pemain untuk skuad Piala Presiden UPB-MyTeam di padang Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Pasukan yang diilhamkan meneruskan program realiti televisyen, MyTeam terus dibimbing oleh Bojan Hodak musim depan.

Pasukan itu mengekalkan penjaga gol Syed Adney Syed Hussien, pemain tengah Norshahrul Idlan Talaha, pertahanan Kaironnisam Sahabudin, Juzaili Samion dan Zamri Chin.

Sementara itu, lebih 200 peserta menghadiri sesi pemilihan skuad Piala Presiden UPB-MyTeam semalam.

Yakub berkata, para peserta terbabit terdiri daripada remaja berusia bawah 17 hingga 19 tahun dari sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Perak.

Menurutnya, para pemain terbabit bakal membarisi skuad Piala Presiden UPB-MyTeam musim depan.

''Pemilihan hari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan para peserta diuji tahap kemahiran dan stamina.

''Mereka yang terpilih ke peringkat seterusnya akan dipantau oleh jurulatih Jacob Joseph dan pembantunya, Nalla Thambi.

''Sesi pemilihan ini diteruskan esok (hari ini) untuk kita memilih 21 pemain yang bakal membarisi skuad Piala Presiden UPB-MyTeam,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz512ZB51me

© Utusan Melayu (M) Bhd