Jumaat, 7 Jun 2019

Matyo sandaran Harimau Malaya


MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
 
SKUAD Harimau Malaya mengharapkan kudrat Norshahrul Idlan Talaha untuk menggempur kubu Taiwan pada aksi persahabatan antarabangsa di Taipei City, Jumaat ini selepas penyerang muda sensasi Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad tidak dapat bersama pasukan.

Safawi yang meledak empat gol ketika membantu skuad bawah 23 (B-23) tahun negara mara ke pusingan kedua Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dilepaskan jurulatih Tan Cheng Hoe atas faktor kepenatan manakala Syafiq pula meminta pengecualian kerana baru menimang cahaya mata.

Turut tidak bersama 23 lagi pemain pada hari pertama latihan pusat hari ini adalah Rizal Ghazali kerana cedera lutut dan Adam Nor Azlin yang turut mengadu kepenatan.

Situasi itu menyaksikan Cheng Hoe hanya memiliki Zaquan Adha Abd Radzak, Shahrel Fikri Md Fauzi, Akhyar Rashid, R Kogileswaran serta Norshahrul untuk mengisi jentera serangan.

Bagi Norshahrul, 32, yang kali terakhir menyarung jersi kebangsaan pada kempen Piala AFF di Yangon, Myanmar dua tahun lalu berkata, dia bersedia untuk menggalas kepercayaan yang diberikan oleh Cheng Hoe.

“Saya tak terfikir (dipanggil semula) cuma bila saya main untuk Pahang saya beri lebih daripada 100 peratus, Alhamdulillah jurulatih panggil saya untuk bantu pasukan ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.

Norshahrul atau turut dikenali sebagai Matyo antara tonggak ketika Harimau Malaya merangkul kejuaraan Piala AFF 2010 di Jakarta.

Namun, dia gagal membantu pasukan dalam tiga edisi seterusnya termasuk di Yangon, Myanmar di mana skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee terkandas di peringkat kumpulan.

Norshahrul berkata, dia masih bersemangat untuk memburu tempat dalam skuad ke Piala AFF tahun ini meskipun terpaksa bersaing dengan pemain muda yang semakin meningkat.

“Saya tengok pemain muda sekarang ramai juga berbakat dan boleh bermain di peringkat antarabangsa, jadi sudah tentu saingan sengit untuk rebut kesebelasan utama nanti,” katanya.

Selepas aksi menentang Taiwan, skuad kebangsaan akan ke Phnom Penh bagi satu lagi aksi persahabatan kelas A menentang Kemboja pada 10 September ini.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 7:59 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan