Rabu, 5 Jun 2019

Harimau Malaya perlu sedia 'mengaum'

 SUKAN»Bola
Rabu, 5 Jun 2019 | 2:26pm
 
Pemain pasukan Malaysia pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil, minggu lalu. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Harimau Malaya perlu sedia 'mengaum'
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan khususnya keadaan padang yang tidak memuaskan selepas Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kekal menjadi venue bagi dua perlawanan 'play-off' Kelayakan Piala Dunia 2022 bertemu Timor Leste, 7 dan 11 Jun ini.

Meskipun berdepan rungutan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe susulan keadaan padang ketika bertemu Nepal namun Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya tidak merancang untuk memindahkan perlawanan ke venue lain.

"Venue tidak akan bertukar dan perlawanan akan berlangsung seperti yang sudah dirancang. Namun kita akui permukaan padang tetap perlu ditambahbaik bagi aksi bertemu Timor Leste.

"Apapun, pihak kita sudah berhubung dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berhubung masalah ini. PSM sudah memberi jaminan bahawa keadaan permukaan padang akan diperbaiki dan ditambahbaik," katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John turut mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permintaan daripada FAM berhubung pertukaran venue bagi dua aksi 'play-off' terbabit.

"Belum ada apa apa permintaan daripada FAM dan kita tidak menerima permohonan untuk menukar venue," katanya.

Terdahulu, Cheng Hoe melontarkan perasaan kurang senang terhadap keadaan permukaan padang di stadium terbabit selepas berakhirnya aksi persahabatan menentang Nepal, Ahad lalu.

Bekas ketua jurulatih Kedah itu menjelaskan keadaan padang di gelanggang rasmi Harimau Malaya itu nyata menjejaskan persembahan anak buahnya pada aksi terbabit dan lebih merisaukan, venue sama akan turut digunakan bagi aksi 'play-off' Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste.

Bagaimanapun, PSM akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan permukaan padang di stadium terbabit kekal ideal dan bersedia sepenuhnya untuk aksi penting terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Nik Razeen Adam Daud memandang serius mengenai rungutan Cheng Hoe dengan pihaknya akan terus melakukan penyelenggaraan terhadap permukaan padang di venue itu sehinggalah hari perlawanan berlangsung.

Jadual aksi 'play-off' Kelayakan Piala Dunia 2022

Malaysia mln Timor Leste, Jumaat, 8.45 malam

Timor Leste mln Malaysia, 11 Jun, 8.45 malam
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 5 Jun 2019 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan