Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
NILAI: Impian
penggempur berbisa negara, Norshahrul Idlan Talaha untuk bertemu kembali
Vietnam di pentas akhir Piala AFF 2018 akhirnya menjadi kenyataan.
Kecundang 2-0
pada aksi peringkat kumpulan di Hanoi, pemain negara sekali lagi akan menentang
skuad Naga Emas itu dalam dua aksi timbal balik dengan perlawanan pertama akan
berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini sebelum aksi final
kedua di tempat lawan.
Justeru,
penyerang yang lebih dikenali sebagai Mat Yo itu menggesa rakan sepasukannya
supaya tidak memilih jalan yang bakal menyukarkan mereka bagi mengharungi aksi
kedua di Hanoi nanti.
“Banyak yang
kami pelajari daripada kekalahan di Hanoi tempoh hari dan kami tahu kami perlu
memperkemas lagi permainan terutamanya kerana ini adalah perlawanan final.
“Sudah tentu
kita perlu mendapatkan gol pada aksi pertama di laman sendiri supaya dapat
membawa bekalan selesa di tempat lawan,” katanya ketika ditemui pada sesi
latihan di Padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Penyerang
pasukan Pahang itu membuktikan betapa pemilihannya dalam skuad negara bagi
kempen kali ini tepat apabila sudah meledak lima gol, ketinggalan tiga gol di
belakang penyerang Thailand, Adisak Kraisorn.
Namun, dia
hilang punca pada aksi bertemu Vietnam apabila dikawal ketat pertahanan lawan
yang tidak memberi sebarang ruang kepadanya menjana serangan.
Susulan
situasi itu, Mat Yo mengakui dia perlu lebih bijak mencari jalan melepasi
kawalan pertahanan Vietnam dalam usaha memburu gol pada perlawanan terbabit.
“Saya sudah
mengkaji perlawanan menentang mereka sebelum ini dan saya akui saya ada
melakukan beberapa kesilapan juga pada aksi terbabit.
“Namun
berdasarkan rakaman video, saya mendapat sedikit sebanyak cara untuk mengatasi
kawalan pertahanan Vietnam dan saya mengharapkan sentuhan saya menjadi di aksi
final nanti,” katanya.
SUMBERArtikel
ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 6:14 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan