ARKIB : 19/12/2009
Penjaga gol Vietnam, Bui Tan
Truong (dua dari kanan) tidak mampu menyelamatkan bola yang tertampan masuk
oleh rakan sepasukannya, Mai Xuan Hop yang cuba menahan sepakan daripada barisan
penyerang Malaysia.
Itu ungkapan Menteri Belia dan
Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk menggambarkan kejayaan skuad bola sepak
kita memenangi pingat emas Sukan SEA selepas menumbangkan pasukan pilihan
Vietnam, 1-0 pada perlawanan akhir, kelmarin.
Walaupun agak keterlaluan, tetapi
tiada siapa dapat menafikan emas bola sepak lebih berharga daripada kemenangan
dalam acara lain.
Ini kerana tiada acara pada Sukan
SEA yang mampu menghimpunkan lebih 20,000 penonton menyaksikannya.
"Ada negara yang menang
lebih banyak pingat emas tetapi ia tidak dapat menandingi tumpuan terhadap
kontinjen kita yang memenangi pingat emas bola sepak.
"Emas bola sepak kali ini
amat bermakna kerana ia menamatkan penantian kita selama 20 tahun selepas kali
terakhir memenanginya 20 tahun lalu di tempat sendiri pada Sukan SEA 1989 di
Kuala Lumpur.
"Kemenangan di Laos ini juga
begitu istimewa kerana kejayaan terakhir kita memenangi emas bola sepak di
tempat lawan ialah pada 1981 pada Sukan SEA Jakarta," kata Ahmad Shabery.
Beliau seterusnya memuji semangat
dan kesungguhan pemain di bawah bimbingan jurulatih K. Rajagobal yang
memberikan hadiah istimewa kepada rakyat Malaysia.
"Pujian harus diberikan
kepada pemain dan jurulatih kerana mempamerkan mutu permainan bola sepak yang
tinggi ketika menentang Vietnam.
"Kata-kata perangsang oleh
Rajagobal supaya para pemain melakukan lebih asakan pada babak kedua, berjaya
sehingga memaksa pemain lawan melakukan kesilapan.
"Usaha pemain yang tidak
mengenal erti putus asa telah menyebabkan Vietnam menjaringkan gol sendiri yang
membawa kemenangan kepada kita," katanya.
Apa yang lebih penting, kata
Ahmad Shabery, kejayaan skuad bola sepak kita di Laos akan mewujudkan 'faktor
rasa senang' di kalangan rakyat terhadap sukan ini.
Menurutnya, kemenangan kelmarin
menyebabkan rakyat yakin bahawa martabat bola sepak kita sudah meningkat.
"Memang kejayaan seperti
inilah yang kita nanti-nantikan sejak sekian lama dan ia berjaya dijelmakan di
Laos.
"Saya harap kejayaan di sini
merupakan kejayaan pertama bola sepak Malaysia dan kita mengharapkan kejayaan
yang lebih besar selepas ini," katanya. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5YhayOBMM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan