ARKIB : 07/12/2007
KORAT Ibarat sirih pulang ke
gagang menjadi gambaran tepat Norshahrul Idlan Talaha atas kepercayaan
jurulatih skuad Bawah 23 Tahun negara, B. Sathianathan kepadanya sebagai
gandingan baru barisan depan dengan Safee Sali untuk menghadapi Singapura,
esok.
Posisi asal yang
ditinggalkannya apabila menyertai UPB-MyTeam dalam Liga Malaysia, kembali
didukungnya apabila melayari cabaran negara memburu salah satu tempat ke
separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Korat di Stadium Universiti Teknologi
Suranaree.
Ini posisi yang agak lama saya
tinggalkan ketika bersama Negeri Sembilan beberapa musim lalu kerana kerap dipanggil
mewakili skuad belia negara sejak Kelayakan Olimpik lagi malah sempat ke Sukan
Asia Doha tahun lalu.
Dalam kebanyakan perlawanan
antarabangsa, saya kerap bertindak selaku pemain tengah mahupun penyokong
serangan, kata anak muda berusia 21 tahun setinggi 1.70 meter ini selepas
menjalani latihan di Padang Pangkalan Tentera Udara Thailand, semalam.
Tempat Norshahrul diuji dalam
dua sesi latihan sejak kelmarin selepas Malaysia kehilangan khidmat gandingan
utama Safee, Zaquan Adha Radzak yang mengumpul dua kad kuning menentang Vietnam
dan Laos di gelanggang yang sama pada Sabtu dan Isnin lalu.
Namun anak jati Besut,
Terengganu ini masih perlu bersaing untuk memastikan tempatnya tidak disambar
oleh penyerang simpanan, Samransak Kram mahupun Safiq Rahim yang boleh
bertindak sebagai penyokong serangan atau perancang dari tengah.
Dalam temasya dwitahunan ke-24
ini, dia hanya diturunkan pada babak kedua menentang Vietnam untuk menggantikan
Safiq tetapi kemampuannya lebih menonjol sebaik sahaja masuk mengambil alih
tempat ketua pasukan, Azi Shahril Azmi yang tercedera paha pada minit keempat
menentang Laos.
Norshahrul sempat menjaringkan
satu gol ke atas Lesotho dalam perlawanan peringkat kumpulan Pestabola Merdeka
ketika Malaysia menang 4-0 di Shah Alam tetapi dari posisi tengah dan sejak itu
dia masih berkemarau gol di pentas antarabangsa.
Pengalamannya dalam pusingan
pertama Kelayakan Piala Dunia menentang Bahrain di Shah Alam pada 28 Oktober
lalu mungkin mampu dimanfaatkan sekali gus membantu Malaysia melepasi Singapura
sebagaimana mereka menang 3-1 dalam Pestabola.
Langkahnya mungkin agak mudah memandangkan
pendahulu Kumpulan B ini kehilangan khidmat pemain tengah bertahan, Isa Halim
yang dilayangkan kad merah dalam baki setengah jam perlawanan ketika mereka
menewaskan Vietnam 3-2, Isnin lalu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4w30p28sT
© Utusan Melayu (M) Bhd