Pemain Pulau Pinang S.Kumaahran
(kiri) diasak keras oleh pemain Felda United Zah Rahan Krangar pada perlawanan
Liga Super 2017 di Stadium Batu Kawan malam tadi. - Foto Bernama
JARINGAN Nor Shahrul Idlan
Talaha atau Mat Yo pada minit terakhir perlawanan membantu Felda United
mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan tercorot Liga Super, Pulau
Pinang di Stadium Negeri di Baru Kawan, malam tadi.
Pada satu-satunya perlawanan
liga semalam, skuad 'The Fighters' terlebih dahulu membuka jaringan menerusi
pemain import dari Argentina, Lucas Matias Cano pada minit ke-16.
Bersambung babak kedua, skuad
Harimau Kumbang berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang import dari
Papua New Guinea, Nigel Dabinyaba pada minit ke-54, sebelum Nor Shahrul
mengesahkan tiga mata penuh bagi skuad kendalian B. Sathianathan pada minit
ke-89.
Terdahulu, Kommisioner
Perlawanan M.Elagkoven, terpaksa menangguhkan perlawanan selama sejam, akibat
hujan lebat yang menyebabkan permukaan padang becak dan dinaiki air serta tidak
sesuai untuk memulakan perlawanan.
Kemenangan itu juga membantu
Felda United melonjak ke tangga keenam carta dengan 14 mata selepas 12
perlawanan, manakala Pulau Pinang kekal di tangga tercorot dengan lima mata.
Dalam dua lagi aksi liga Selasa
ini, Sarawak akan menerima kunjungan Selangor di Stadium Negeri Kuching,
manakala PKNS FC akan bertemu Kedah di Stadium Shah Alam. – Bernama
Sumber SINAR HARIAN ONLINE 8 Mei 2017