Ahad, 7 Mei 2017

Jaringan akhir Mat Yo tuah buat Felda United



 Pemain Pulau Pinang S.Kumaahran (kiri) diasak keras oleh pemain Felda United Zah Rahan Krangar pada perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Batu Kawan malam tadi. - Foto Bernama

JARINGAN Nor Shahrul Idlan Talaha atau Mat Yo pada minit terakhir perlawanan membantu Felda United mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan tercorot Liga Super, Pulau Pinang di Stadium Negeri di Baru Kawan, malam tadi.

Pada satu-satunya perlawanan liga semalam, skuad 'The Fighters' terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import dari Argentina, Lucas Matias Cano pada minit ke-16.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Kumbang berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang import dari Papua New Guinea, Nigel Dabinyaba pada minit ke-54, sebelum Nor Shahrul mengesahkan tiga mata penuh bagi skuad kendalian B. Sathianathan pada minit ke-89.

Terdahulu, Kommisioner Perlawanan M.Elagkoven, terpaksa menangguhkan perlawanan selama sejam, akibat hujan lebat yang menyebabkan permukaan padang becak dan dinaiki air serta tidak sesuai untuk memulakan perlawanan.

Kemenangan itu juga membantu Felda United melonjak ke tangga keenam carta dengan 14 mata selepas 12 perlawanan, manakala Pulau Pinang kekal di tangga tercorot dengan lima mata.

Dalam dua lagi aksi liga Selasa ini, Sarawak akan menerima kunjungan Selangor di Stadium Negeri Kuching, manakala PKNS FC akan bertemu Kedah di Stadium Shah Alam. – Bernama
Sumber  SINAR HARIAN ONLINE 8 Mei 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan