Khamis, 23 Mac 2017

Malaysia menang besar


ARKIB : 14/05/2002
MALAYSIA meraih kemenangan kedua apabila menewaskan Brunei 9-0 Brunei pada pusingan kelayakan Kejohanan Bola Sepak AFC bawah 17 di Stadium Selayang, Selangor, semalam lapor SRY ANGRENI MOHD ZET.

Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan keyakinan pemain negara untuk memberi saingan sengit dengan pasukan pilihan Jepun dalam usaha merebut satu tiket ke perlawanan akhir Kejohanan AFC di Amiriyah Arab Bersatu (UAE) Oktober ini.

Malaysia memulakan penguasaannya seawal minit kedua apabila Mohd Firdaus Yusoff menggegarkan gawang lawan untuk mendahului 1-0.

Mohd Firdaus turut menjaringkan dua lagi gol pada minit ke-64 dan 70 untuk menjadi pemain kedua selepas Akahoshi Takafuni dari Jepun mencatat hatrik pada perlawanan semalam.

Malaysia melebarkan jumlah jaringan menerusi Zulbadly Ismail dan Mohd Ridzuan Othman yang masing-masing menjaringkan dua gol.

Zulbadly menjaringkan gol pada minit ke-22 dan 26 sementara Ridzuan melakukan di minit ke-52 dan 60 selain Elias Sulaiman pada minit ke 61 dan Norshahrul Idlan minit ke-91.

Terdahulu, Jepun yang berhasrat untuk beraksi di UAE sekali lagi kenduri gol apabila menewaskan Macau 9-0. Pasukan itu telah menewaskan Brunei 11-0 pada perlawanan pertama Sabtu lepas.

Jurulatih pasukan bawah-17 negara, Zainal Abidin Hassan mengakui Malaysia berpeluang untuk memberi saingan sengit ketika bertemu Jepun sekiranya mereka mengekalkan prestasi permainan semalam ataupun memperbaikinya.

``Kini masih mempunyai peluang untuk mencipta sejarah menamatkan penantian yang lama untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir ini.

``Saya hanya berharap pemain akan terus memperbaiki corak permainan ataupun sekurang-kurangnya mengekalkan prestasi seperti yang ditunjukkan malam ini,'' katanya yang ditemui selepas perlawanan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4c9qCkvc3© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia jinakkan kegarangan Macau



ARKIB : 12/05/2002
MALAYSIA bermula garang dalam aksi pertama bola sepak kelayakan Asia bawah 17 selepas membenam Macau 7-0 dalam saingan di Stadium Selayang dekat Kuala Lumpur, semalam.

Pasukan negara mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi jaringan Kamarul Afiq Kamaruddin (4), Mohd. Amirul Hadi Zainal (9) dan Mohd. Firdaus Yusof (34).

Empat lagi gol pada babak kedua dijaringkan oleh Mohd. Ridzuan Othman (69), Nor Shahrul Idlan (72, 85) dan Mohd. Nurul Azwan Roya (75).

Dalam satu lagi perlawanan, Jepun membelasah Brunei 11-0 dengan Maeda Shunsuke menjaringkan tujuh gol pada minit pertama, 13, 14, 43, 71, 74 dan 89.

Manakala satu gol masing-masing dijaringkan oleh Yamamoto Takuya (20), Fujii Takashi (24), Nagahama Yu (82) dan gol sendiri pemain Brunei, Mohd. Firdaus (87).

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4c9m0pcue
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 21 Mac 2017

Malaysia kecundang



ARKIB : 01/03/2002
MALAYSIA gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir kejohanan bola sepak bawah 17 tahun AFF apabila ditewaskan oleh Laos, 7-6 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat, 2-2 pada perlawanan penuh.

Perlawanan yang dilangsung di Stadium MPPJ itu, menyaksikan Malaysia memperoleh gol pertama pada aksi penuh menerusi Zulbadly Ismail selepas mendapat hantaran daripada Mohd. Ridzuan Othman pada minit ke-24. Bagaimanapun Laos berjaya menyamakan kedudukan dua minit selepas itu menerusi Ole Malathong.

Sebaik babak kedua bermula, aksi bertambah rancak dengan Laos mendapat gol kedua menerusi Souksakhone Vongsamany pada minit ke-67.

Malaysia tidak tunggu untuk membalas jaringan tersebut apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Euong Vanhien dari Vietnam. Sepakan penalti diambil oleh Mohd. Nurul Azwan pada minit ke-77 untuk melengkapkan keputusan terikat 2-2.

Pada babak sepakan penalti, penjaga gol Laos, Vongsekda Sian Phomhsay gagal menyempurnakan sepakan penalti yang pertama untuk memberikan sedikit harapan kepada Malaysia.

Malaysia turut gagal menyempurkan sepakan penalti yang diambil oleh Mohd. Nurul. Laos meneruskan sepakan menerusi Kaysonge Soukhavong untuk menjadikan keputusan 1-0.

Selepas itu, Kamarul Afiq Kamaruddin mengambil sepakan penalti dan berhasil meloloskan gawang untuk menjadikan keputusan 1-1. Laos bangkit untuk sepakan ketiga melalui Kiettithoum Souvannasoth dan ia berhasil mendahului Malaysia, 2-1.

Kemudian sepakan Malaysia dilakukan oleh Zulbadly Ismail dan berjaya untuk keputusan 2-2.

Sountahalay Xaysongkham yang juga ketua pasukan Laos mengambil sepakan penalti yang keempat dan berjaya menewaskan Mohd. Nasril untuk mendahului 3-2.

Ahmad Azlan Zainal mengambil sepakan penalti keempat untuk menyaksikan keputusan kembali terikat 3-3.

Laos melakukan sepakan terakhir menerusi Souksakhone dan berjaya menyumbat gawang untuk mendahului 4-3.

Ketua pasukan Zulyusry Che Harun berjaya menyamakan kedudukan untuk menjadikan 4-4.

Keputusan untuk sepakan penalti kalah mati terpaksa diambil dan Kefone Vannavong dari Laos melakukan jaringan dan Mohd. Shakir Shaari dari Malaysia juga berjaya menyumbat gawang.

Sepakan penalti diteruskan dan diambil oleh Ole dari Laos dan ia berhasil. Nor Shahrul Idlan masih mampu memberikan saingan untuk Malaysia.

Malaysia akhirnya menerima padah apabila Mohd. Fazirul Zakaria gagal menyepak masuk bola ketika Suthafi berjaya memastikan kemenangan Laos, 7-6.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4bxJSSr3e
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 17 Mac 2017

Piala Nike Bawah 14: Malaysia terkandas

ARKIB : 31/05/2001
MALAYSIA gagal melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan bola sepak Piala Nike Bawah-14 di Berlin, Jerman Julai ini, meskipun menewaskan Singapura 2-0 dalam perlawanan terakhir peringkat Asia Tenggara di Bangkok, semalam.

Pasukan negara hanya ketinggalan tiga mata di belakang tuan rumah, Thailand yang turut menumpaskan Singapura 3-0 dalam saingan terakhir mereka.

Kedukaan Malaysia bagaimanapun sedikit terubat selepas penyerang utamanya, Norshahrul Idlan diumumkan sebagai Pemain Paling Bernilai sepanjang kejohanan tiga hari itu.

Malah, Norshahrul turut berkongsi kedudukan penjaring terbanyak bersama penyerang tuan rumah, Rusadee Arwasumah.

Norshahrul menjaringkan kedua-dua gol kemenangan Malaysia pada minit ke-37 dan ke-47, sebelum diumum sebagai pemain terbaik perlawanan - kemenangan ketiganya.

Jurulatih negara, Zainal Abidin berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya terutama aksi cemerlang Norshahrul.

``Pemain-pemain ini terutama Norshahrul membuktikan mereka mempunyai bakat yang hebat. Kami benar-benar perlu memberi tumpuan kepada pemain-pemain ini untuk masa akan datang.''

Sementara itu, Thailand mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan dan Rusadee mencipta hatrik ketika pasukan itu mencatat kemenangan 3-0 ke atas Singapura.

Jurulatih Thailand, Bruce Campbell berkata, beliau tidak menyangka pasukannya mampu mempamerkan persembahan yang baik meskipun menerima tekanan beraksi di gelanggang sendiri.

Katanya, Thailand juga mempunyai prospek yang baik di Berlin bagaimanapun tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana ia hanya perlawanan antarabangsa pertama untuk pasukan itu.

Lapan pasukan sudahpun mengesahkan tempat pada pusingan akhir diketuai tuan rumah, Hertha Berlin, Armenia Aken dari Jerman, AS Roma dari Itali, FC Chalon Sus Saone dari Perancis, kelab England, West Ham, River Plate (Argentina), Victoria (Brazil) dan Universidad dari Chile.



Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bdwVbhC5

© Utusan Melayu (M) Bhd