ARKIB : 31/05/2001
MALAYSIA gagal melayakkan diri
ke pusingan akhir kejohanan bola sepak Piala Nike Bawah-14 di Berlin, Jerman
Julai ini, meskipun menewaskan Singapura 2-0 dalam perlawanan terakhir
peringkat Asia Tenggara di Bangkok, semalam.
Pasukan negara hanya ketinggalan
tiga mata di belakang tuan rumah, Thailand yang turut menumpaskan Singapura 3-0
dalam saingan terakhir mereka.
Kedukaan Malaysia bagaimanapun
sedikit terubat selepas penyerang utamanya, Norshahrul Idlan diumumkan sebagai
Pemain Paling Bernilai sepanjang kejohanan tiga hari itu.
Malah, Norshahrul turut
berkongsi kedudukan penjaring terbanyak bersama penyerang tuan rumah, Rusadee
Arwasumah.
Norshahrul menjaringkan
kedua-dua gol kemenangan Malaysia pada minit ke-37 dan ke-47, sebelum diumum
sebagai pemain terbaik perlawanan - kemenangan ketiganya.
Jurulatih negara, Zainal Abidin
berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya
terutama aksi cemerlang Norshahrul.
``Pemain-pemain ini terutama
Norshahrul membuktikan mereka mempunyai bakat yang hebat. Kami benar-benar
perlu memberi tumpuan kepada pemain-pemain ini untuk masa akan datang.''
Sementara itu, Thailand
mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan dan Rusadee mencipta hatrik
ketika pasukan itu mencatat kemenangan 3-0 ke atas Singapura.
Jurulatih Thailand, Bruce
Campbell berkata, beliau tidak menyangka pasukannya mampu mempamerkan
persembahan yang baik meskipun menerima tekanan beraksi di gelanggang sendiri.
Katanya, Thailand juga
mempunyai prospek yang baik di Berlin bagaimanapun tidak meletakkan harapan
yang tinggi kerana ia hanya perlawanan antarabangsa pertama untuk pasukan itu.
Lapan pasukan sudahpun
mengesahkan tempat pada pusingan akhir diketuai tuan rumah, Hertha Berlin,
Armenia Aken dari Jerman, AS Roma dari Itali, FC Chalon Sus Saone dari
Perancis, kelab England, West Ham, River Plate (Argentina), Victoria (Brazil)
dan Universidad dari Chile.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bdwVbhC5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan