Isnin, 20 Januari 2020

Mat Yo balik Kelantan?

SUKAN»Bola
Khamis, 9 Januari 2020 | 6:54pm
 
PEMAIN Pahang, Norshahrul Idlan Talaha. NSTP/Adzlan Sidek
Mat Yo balik Kelantan?
Oleh Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Adakah Norshahrul Idlan Talaha akan kembali ke pangkuan Kelantan?

Itu persoalan yang timbul selepas khabar angin Norshahrul atau Mat Yo bakal menyertai skuad Pantai Timur itu sedang bertiup kencang ketika ini.

Malah, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Hussin Deraman turut mengesahkan pihaknya ada melakukan perbincangan bersama penyerang kebangsaan itu.

"Memang ada perbincangan (bersama Mat Yo), tapi belum ada kata putus daripada perbincangan itu," katanya kepada BH Sukan.

Mat Yo mencipta nama bersama Kelantan selepas berjaya membantu skuad itu muncul gergasi bola sepak negara beberapa tahun lalu termasuk merangkul kejuaraan 'treble' pada 2012.

Namun, jika spekulasi itu menjadi kenyataan, ia bakal mencetuskan perpindahan yang menarik selepas Mat Yo pernah berdepan kontroversi ketika mahu meninggalkan Kelantan pada 2013 untuk menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT).

Mat Yo yang ketika itu dianggap sebagai penyerang terbaik negara diletakkan tanda harga RM1 juta oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Kontroversi perpindahan pemain berusia 33 tahun itu bagaimanapun selesai selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan Mat Yo hanya perlu membayar RM299,000 sebagai tebus kontrak bersama Kelantan.

Namun, perpindahan itu tampak tetap tidak mendapat 'restu' penyokong The Red Warriors (TRW) apabila Mat Yo sentiasa disambut dengan sorakan 'boo' apabila JDT bertandang ke Stadium Sultan Muhammad IV.

Selain itu, Hussin turut menjelaskan Kelantan kini sedang berusaha untuk mendapatkan pemain import dengan empat kuota masih kosong.

"Bagi pemain tempatan kita rasa sudah hampir lengkap sepenuhnya, jadi fokus utama ketika ini untuk mendapatkan pemain import dan kita sedang menguji beberapa pemain," katanya.[1]


[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/01/645397/mat-yo-balik-kelantan

Rabu, 15 Januari 2020

Mat Yo bakal sertai Pathum United

SUKAN»Bola
Selasa, 14 Januari 2020 | 11:06pm
 
PENYERANG veteran negara, Norshahrul Idlan Talaha. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Mat Yo bakal sertai Pathum United
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penyerang veteran negara, Norshahrul Idlan Talaha membuktikan ‘otai masih berbisa’ apabila bakal beraksi dalam saingan Liga 1 Thailand bersama pasukan Bangkok Glass Pathum United bagi musim depan.

Perkembangan itu disahkan oleh ejennya, Abdul Halim Abdul Shukor yang menjangkakan bekas penyerang Pahang itu akan menandatangani kontrak bersama juara Liga 2 Thailand itu, Jumaat ini.

Ini menyaksikan Norshahrul yang lebih dikenali sebagai Mat Yo akan menyertai seorang lagi pemain negara yang turut berkelana ke Thailand pada musim depan iaitu Dominic Tan kini beraksi bersama Police Tero.

“Saya mendapat tawaran rasmi daripada salah satu kelab besar di Thailand bagi mendapatkan Norshahrul.

“Mereka sememangnya mencari pemain ASEAN dan saya cadangkan nama Norshahrul.

“Saya percaya dengan keupayaannya beraksi di sana. Dia akan membuat pemeriksaan perubatan pada Khamis dan jika semuanya baik, dia akan menandatangani kontrak pada Jumaat,” katanya.

Bangkok Glass atau turut dikenali BG Pathum United turut membariskan anak legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad iaitu Irfan Ahmad yang beraksi di bahagian pertahanan.

Sebagai rekod, ini kali pertama Norshahrul akan beraksi di luar negara sejak mula terjun ke kancah bola sepak tempatan sejak 2003.[1]


[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/01/646819/mat-yo-bakal-sertai-pathum-united