MyMetroUtama
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
NAMPAK cantik tapi belum lengkap. Itu senario skuad Harimau Malaya yang dilihat belum lagi ada pemain bersesuaian mengisi ‘jawatan’ kosong sebagai penyerang utama selepas dua aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Malah, penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha, 33, yang diberikan tanggungjawab menggalas posisi berkenaan gagal berbuat demikian seterusnya dihujani kecaman netizen di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.
Perkara terbabit diakui bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir yang melihat skuad Harimau Malaya ketandusan penyerang tulen atau peledak utama hingga menggagalkan peluang Malaysia meraih kemenangan terutama ketika tewas 1-2 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.
Beliau berkata, kelemahan itu seharusnya diperbaiki segera bagi menghadapi perlawanan akan datang dan sekarang ini adalah waktu sesuai untuk pengendali Tan Cheng Hoe menggunakan penyerang lebih muda dan bertenaga menggalas cabaran terbabit.
“Apa yang boleh saya katakan, permainan skuad Harimau Malaya baru-baru ini sangat bagus dengan bahagian tengah berjaya mengawal keadaan, namun jika penyerangnya gagal manfaat peluang terhidang tak berguna juga.
“Setiap perlawanan perkara penting adalah menjaringkan gol bagi memastikan kemenangan pasukan, namun jika gagal berbuat demikian seterusnya akan merugikan pemain yang bertungkus lumus di atas padang.
“Saya tengok penyerang sama diturunkan, namun pengendali tidak mahu pula tukar kepada pemain lain apabila melihat ada masalah di posisi dan sudah pasti kita gagal menjaringkan gol,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Setakat dua perlawanan, pemain sayap, Mohamadou Sumareh serta tonggak tengah, Syafiq Ahmad masing-masing meledak dua gol termasuk ketika menang 3-2 ke atas Indonesia di Jakarta.
Kegagalan Norshahrul Idlan atau ‘Mat Yo’ memanfaat peluang terhidang dan tidak mencipta sebarang gol pada dua aksi terbabit dikecam peminat sukan nombor satu itu selain mengaitkan kekalahan Malaysia kepada UAE disebabkan ketumpulan jentera serangan.
Mengulas lanjut, Jamal berkata, pengendali Harimau Malaya perlu lebih kreatif dengan berani meletakkan pemain lain di posisi serangan dan tidak lagi bergantung kepada penyerang sedia ada untuk merobek gol lawan.
“Perlu ada keberanian menggunakan penyerang lebih muda atau meletakkan pemain di posisi lain untuk menggalas cabaran di bahagian serangan.
“Perkara terbabit perlu diperbaiki segera untuk perlawanan akan datang dan jika gagal kemungkinan skuad Harimau Malaya sukar untuk merobek gol lawan,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 6:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan