MyMetroArena
BERNAMA
PENYERANG kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha merupakan satu-satunya pemain
dalam skuad negara terkini yang pernah merasai detik cemas menaiki kereta
perisai sewaktu Malaysia menjulang Piala AFF menewaskan Indonesia di Stadium
Gelora Bung Karno, Jakarta pada 2010.
Pengalaman dikepung penyokong tuan rumah dan dibaling objek keras dilalui
Norshahrul beraksi pada final berintensiti tinggi itu amat ditagih ketua
jurulatih negara Tan Cheng Hoe dalam aksi sulung Kumpulan G pusingan kedua
Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Indonesia, malam esok.
Cheng Hoe mengakui kelebihan dimiliki penyerang Pahang berusia 33 tahun itu
atau turut dikenali sebagai Mat Yo mampu membantu pemain muda negara untuk
menyerap tekanan yang bakal diberikan puluhan ribu penyokong skuad Garuda.
“Skuad 2010 dan 2019 sangat berbeza dan hanya tinggal Mat Yo (Norshahrul)
seorang sahaja kini.
Sudah tentu dengan pengalamannya, saya harap beliau dapat memimpin pasukan
terutama di bahagian jentera serangan,” katanya, hari ini.
Cheng Hoe, bagaimanapun menjelaskan tanggungjawab meraih tiga mata berharga
tidak terletak pada bahu Norshahrul seorang sahaja, sebaliknya seluruh barisan
pemain negara.
Pengendali berusia 51 tahun itu menuntut setiap pemain bakal diturunkan
pada perlawanan esok menampilkan semangat juang tinggi selain menggunakan
pendekatan bermain secara berpasukan sebagai kunci utama untuk meraih
kemenangan.
“Bukan kita nak letak tekanan terhadap beliau (Norshahrul), tetapi sebagai
satu pasukan kita perlu saling memberi sokongan dan pada masa sama saya optimis
kita mampu bermain sebagai satu pasukan dengan semangat yang tinggi,” jelas
bekas ketua jurulatih Kedah itu.
Sebagai rekod, Malaysia menewaskan Indonesia pada final Piala AFF 2010
dengan agregat 4-2 selepas melakar kemenangan bergaya 3-0 pada aksi final
pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum tumpas 1-2 di Stadium Gelora
Bung Karno pada perlawanan akhir kedua.
Kedua-dua pasukan merekodkan 95 pertemuan dengan kali terakhir pada 2016
menyaksikan Indonesia menang 3-0 ketika melayani kunjungan Malaysia pada aksi
persahabatan antarabangsa.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 2:58 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan