ARKIB : 11/06/2011
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
NORSHAHRUL mahu bukti kehebatan sebagai pemegang
status oenyerang kebangsaan pada perlawanan akhir Piala FA menentang
Terengganu, malam ini.
KUALA LUMPUR - Tidak mahu menghampakan penyokong,
itulah ikrar penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang akan beraksi pada
perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil menentang Terengganu,
malam ini.
Tonggak kebangsaan itu berkata, sebagai penyerang
dia tidak mahu melakukan kesilapan jika mendapat peluang keemasan untuk
menjaringkan gol kerana ia adalah perlawanan penting buat The Red Warriors
menjulang Piala FA buat kali pertama.
"Saya juga akan menasihatkan pemain pertahanan
agar tidak leka, mereka perlu mengekang asakan rangkaian serangan Terengganu
sebaik mungkin, semua sedar bahawa kekuatan Terengganu terletak di bahagian
serangan," katanya ketika ditemui pemberita di Stadiuam Nasional Bukit
Jalil di sini, semalam.
Jelasnya, persefahaman antara pemain sangat
penting, sesiapa sahaja mampu muncul juara dalam perlawanan akhir.
"Saya tidak mahu menghampakan penyokong yang
datang. Perlawanan terdahulu tidak boleh dijadikan ukuran, walaupun menjadi
pasukan pilihan semua pemain harus berhati-hati, Terengganu bukan calang-calang
pasukan.
"Jika saya diberi tumpuan sekali pun oleh
pemain pertahanan lawan ia juga akan memberi kelebihan buat kami. Pemain lain
yang tidak dikawal mampu untuk meroboh benteng pertahanan mereka,"
katanya.
Norshahrul yang terkenal dengan nama jolokan Mat Yo
berkata, dia juga akan memberikan persembahan terbaik untuk membuktikan bahawa
dia adalah penyerang kebangsaan yang berbisa dan bersaing secara sihat dengan
Abdul Hadi Yahya.
"Dua penyerang kebangsaan akan beraksi, tidak
kira siapa lawan kami, sudah pasti sebagai penyerang masing-masing ingin
menunjukkan kebolehan yang dimiliki, saya ingin menjaringkan gol pada
perlawanan ini.
"Mungkin jaringan yang akan saya lakukan
adalah hadiah hari jadi terbaik saya pada Rabu lalu, tetapi ia lebih manis jika
dapat membantu Kelantan menjulang Piala FA buat pertama kali," kata
penyerang kelahiran Besut, Terengganu itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eMK5Ikgo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan