ARKIB : 21/07/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Norshahrul Idlan Talaha (kiri) terlepas peluang
mewakili negara menentang Singapura pada perlawanan pertama pusingan kedua
kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Jalan Besar, esok.
KUALA LUMPUR - Skuad Harimau Malaya akan
menyeberangi Tambak Johor hari ini tanpa khidmat Norshahrul Idlan Talaha yang
digugurkan daripada 24 senarai akhir yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) semalam.
Ketiadaan Norshahrul bukannya kerana masalah
prestasi tetapi ekoran kecederaan otot pelipat lutut (hamstring) yang
dialaminya semasa beraksi menentang Arsenal pada 13 Julai lalu, belum pulih.
Kehilangan Norshahrul atau lebih dikenali sebagai
Mat Yo pastinya merencatkan sedikit perancangan Datuk K. Rajagobal yang mahu
melihat Safee Sali dan penyerang Kelantan itu kembali bergandingan.
Apa pun, ketiadaan Mat Yo mungkin membuka peluang
kepada Abdul Hadi Yahaya atau Ahmad Fakri Saarani untuk diturunkan di barisan
serangan di samping beberapa pilihan lain yang ada seperti Izzaq Faris Ramlan,
Ismail Faruqi dan Baddrol Bakhtiar mengisi slot penyerang bantuan.
Sebaliknya, berita itu pasti memberikan khabar
gembira kepada Singapura memandangkan Mat Yo mempunyai tahap keserasian yang
tinggi dengan Safee untuk merobek gawang lawan seperti mana dibuktikan ketika
mengalahkan Indonesia di pentas akhir Piala AFF tahun lalu.
Selain Mat Yo, dua lagi rakannya dari Kelantan, S.
Chanturu dan Mohd. Shakir Shaari turut menerima nasib yang sama apabila tidak
disenaraikan di samping seorang lagi penyerang dari Johor FC, Shahrizal Saad.
Apa yang menarik, Rajagobal membawa masuk begitu
ramai pertahanan dengan sembilan pemain disenaraikan, satu jumlah yang dilihat
agak besar selepas persembahan barisan belakang negara itu dikritik hebat
semasa perlawanan berdepan Arsenal dan Liverpool baru-baru ini kerana
melepaskan 10 jaringan kepada lawan.
Bagi posisi pertahanan tengah sahaja, Rajagobal
mempunyai banyak pilihan kerana boleh menurunkan Mohamad Aidil Zafuan, Mohd.
Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Farisham Ismail atau Mohd. Rizal Fahmi
Ab. Rosid.
Pada posisi tengah, tiada sebarang kejutan besar
dilihat dengan beberapa muka sama iaitu ketua pasukan, Safiq Rahim, Amar
Rohidan, Mohd Amirulhadi Zainal, S. Kunanlan, Mohd. Ashari Samsudin, K.
Gurusamy masih mendapat kepercayaan Rajagobal.
Cuma persoalan paling menarik, antara Khairul Fahmi
Che Mat atau Sharbinee Allawee, siapakah penjaga gol yang akan menjadi pilihan
jurulatih untuk diturunkan di Stadium Jalan Besar?
Persembahan Khairul Fahmi dilihat sedikit menurun
pada dua perlawanan terakhir sementara Sharbinee didapati begitu semakin
menyerlah jika aksinya ketika bertemu Taiwan pada pusingan pertama dijadikan
ukuran.
Sementara itu, peluang penjaga gol ketiga, Nasril
Nourdin juga tidak boleh diketepikan begitu sahaja kerana turut mempamerkan
aksi yang baik semasa berdepan Arsenal dan Liverpool.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eZo7ZSjM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan