Jumaat, 19 Oktober 2018

Mat Yo tiada dalam senarai

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
 
RONNY (kiri) turut mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan menentang Filipina.

KEKURANGAN beraksi bersama Johor Darul Takzim (Johor DT) dilihat menjadi punca mengapa penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha terpaksa diketepikan daripada skuad kebangsaan.

Justeru, jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee telah membuat keputusan untuk memanggil semula bintang Terengganu, Mohd. Nor Farhan Muhammad untuk menyertai skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan menentang Filipina pada 27 April nanti.

Keputusan tidak menyenaraikan Norshahrul yang juga dikenali sebagai 'Mat Yo' bukanlah satu kejutan kerana pemain kelahiran Besut, Terengganu itu tidak bersama skuad Harimau Malaya ketika menentang Filipina dan Yemen pada Mac lalu.

Kim Swee terpaksa membuat percaturan sedemikian selepas pengendali kelahiran Melaka itu menyedari tempoh singkat yang dimilikinya untuk mengumpul barisan pemain terbaik pada 21 April sebelum berlepas ke Cebu, Filipina.

Beliau juga tidak membuat banyak perubahan selain memanggil khidmat Nor Farhan dan tonggak pertahanan Sarawak, Ronny Harun bagi menggantikan pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Amiridzwan Taj Tajudin yang masih ditimpa masalah kecederaan.

"Saya memanggil dua pemain baharu iaitu Nor Farhan dan Ronni. Pemain-pemain lain adalah muka lama yang telah bersama skuad Harimau Malaya sebelum ini.

"Saya tidak boleh membuat banyak perubahan memandangkan kami memiliki masa singkat iaitu dalam tempoh empat hari untuk menyediakan pasukan sebelum berlepas ke Filipina.

"Selain itu, pemain Kelantan dan Selangor masih mempunyai aksi Piala AFC pada 22 dan 23 April ini. Jadi, saya tidak boleh mengumpul semua pemain sebaik latihan pusat bermula.

"Tidak banyak yang saya akan lakukan dari segi taktikal dan bagi saya pemain yang dipanggil adalah yang terbaik buat masa ini," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Muka-muka lama yang dimaksudkan Kim Swee adalah Mohd. Safee Sali, Bobby Gonzalez, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Amri Yahyah untuk menerajui bahagian serangan.

Jentera tengah bakal diisi antaranya Mohd. Badhri Radzi, Safiq Rahim, Junior Eldstal, Azamuddin Mohd. Akil, Mohd. Hafiz Kamal dan S. Kunanlan.

Bagi benteng pertahanan skuad negara diketuai oleh kapten, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak yang kembali pulih daripada kecederaan bersama Mahali Jasuli, Mohd. Asraruddin Putra Omar, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Razman Roslan dan Bunyamin Omar.

Posisi penjaga gol kekal menjadi milik Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Farizal Marlias dan Mohd. Khairul Azhan Khalid yang membuat penampilan pertama di pentas antarabangsa ketika Malaysia seri 1-1 dengan Filipina pada 1 Mac lalu.

Mohd. Izham Tarmizi Roslan, S. Subramaniam, Muhammad Nazmi Faiz Mansor dan Yong Kuong Yong berada dalam senarai simpanan.

KOSMO ONLINE 17.4.14

Khamis, 4 Oktober 2018

24 pemain belum selamat

NORSHAHRUL IDLAN TALAHA
Mohammad Rozaidi Zulkifli
sukan@utusan.com.my
04 Oktober 2018 3:00 AM
 NORSHAHRUL IDLAN TALAHA
KUALA LUMPUR 3 Okt. - Tiada istilah kedudukan ‘terjamin’ buat 24 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk kem latihan menjelang dua perlawanan persahabatan sebagai persediaan menghadapi kejohanan Piala AFF 2018.

Jelasnya, dia akan memanggil beberapa pemain lagi selepas berakhirnya final Piala Malaysia dan hanya pada sesi latihan terakhir senarai 23 pemain terbaik akan dimuktamatkan untuk menggalas tugasan negara dalam Piala AFF.


Cheng Hoe turut memberitahu, keputusan memanggil pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh kerana pemain kelahiran Gambia itu telah mempamerkan prestasi baik dalam saingan Liga Malaysia dan tidak salah untuk memberi peluang kepadanya beraksi di peringkat antarabangsa.

“Kita masih tunggu saingan Piala Malaysia berakhir dan akan memanggil beberapa pemain lagi untuk menyertai pasukan. Paling penting pemain yang dipanggil nanti bebas daripada kecederaan dan mempunyai semangat tinggi untuk bermain demi negara.

"Senarai 23 pemain terakhir hanya akan diputuskan selepas saya mendapat semua pemain yang saya inginkan.

"Tentang Sumareh, sudah tentu kita tahu kualitinya dalam Liga Malaysia, Saya harap dia akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin dan mampu memberi impak buat pasukan kebangsaan. Dari segi komunikasi dengan rakan pasukan saya rasa dia tiada masalah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seramai 24 pemain telah dipanggil menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya yang bermula 8 Oktober ini bagi mengharungi perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka dan Kyrgyzstan sebagai persiapan skuad kebangsaan menghadapi kejohanan Piala AFF berlangsung pada 8 November hingga 15 Disember.

Sementara itu, Cheng Hoe menjelaskan panggilan semula penyerang Pahang, Norshahrul Idlan Talaha dalam kem negara kerana dia telah mempamerkan aksi konsisten sepanjang saingan Liga Malaysia.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/24-pemain-belum-selamat-1.760272#ixzz5SwjsMnLD
© Utusan Melayu (M) Bhd