Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
KEINGINAN untuk berada dalam
kesebelasan utama serta bermain dalam setiap perlawanan menjadi tarikan utama
kepada Norshahrul Idlan Talaha jika dia memilih untuk kembali menyarung jersi pasukan
Kelantan pada musim depan.
Sambil mengakui sedang
menimbangkan tawaran daripada pasukan bergelar The Red Warrior (TRW) itu,
Norshahrul atau lebih mesra dengan panggilan Mat Yo berkata peluang beraksi
sebagai pemain utama adalah sesuatu yang dicarinya sekarang berbanding gaji
lumayan.
“Sebagai pemain, saya pernah
menikmati kehidupan selesa dengan gaji yang tinggi. Saya tidak nafikan
pendapatan adalah sesuatu yang penting tapi ia bukan lagi menjadi buruan saya
sekarang.
“Apa yang saya mahukan adalah
menikmati setiap perlawanan dengan beraksi di tengah padang, bukan sekadar
memanaskan bangku simpanan atau menjadi pemain gantian.
“Keinginan ini mungkin sukar
diperoleh jika saya kekal bersama FELDA (United) di mana sepanjang musim ini
saya lebih banyak bertindak sebagai pemain gantian.
ADVERTISING
“Di samping itu, sebagai
penyerang saya lebih selesa bermain di bahagian tengah berbanding di posisi
sayap kerana lebih efektif jika diturunkan di posisi kegemaran saya.
“Ia sesuatu yang mengecewakan
kerana saya yakin mampu memberi sumbangan lebih besar jika diturunkan dalam
kesebelasan utama serta pada posisi yang bersesuaian.
“Begitu pun saya tidak
menyalahkan jurulatih (B Sathianathan) kerana sudah pasti beliau mempunyai
perancangan tersendiri serta yang terbaik untuk pasukan,” katanya.
Mat Yo mengakui dia telah
dihubungi oleh seorang pegawai Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) baru-baru
ini namun belum memberi kata putus terhadap tawaran yang dihulurkan.
Pada masa sama, menurut Mat Yo,
FELDA turut menawarkan lanjutan kontrak semusim lagi selepas kontraknya
berakhir baru-baru ini.
“Buat masa ini saya belum
menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan. Saya memerlukan sedikit masa
lagi untuk berfikir sebelum membuat keputusan.
“Saya melihat pengurusan baru
KAFA begitu bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak
Kelantan.
“Malah, saya yakin mereka mampu
menangani isu gaji yang sebelum ini menjadi masalah utama pasukan,” katanya.
KAFA dijangka mengumumkan
barisan pemain bagi musim 2018 pada Sabtu ini dengan nama Mat Yo antara pemain
yang disebut bakal menyertai pasukan itu bersama Wan Zack Haikal Wan Nor (FELDA
United), Shakir Shaari (Johor Darul Ta’zim) dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria
(Pahang).
Untuk rekod Mat Yo pernah
menyarung jersi TRW pada musim 2010 hingga 2012 serta membantu pasukan itu
menjuarai pelbagai pertandingan domestik dengan pencapaian terbaik menjuarai
Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2012.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Rabu, 8 November 2017 @ 12:52 PM