Oleh NURUL HUDA HASSAN dan
MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my© Utusan
Melayu (M) Bhd
Penyerang Johor Darul Takzim,
Norshahrul Idlan Talaha meraikan jaringannya ketika menentang Kelantan pada
suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam tadi. -
MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI
KUALA LUMPUR - Norshahrul Idlan
Talaha nyata tidak terganggu dengan kontroversi yang sedang melanda dirinya,
apabila meledak gol untuk membantu Johor Darul Takzim (Johor DT) menundukkan
Kelantan 4-2 pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan
Yunos, Larkin, semalam.
Hanya Johor DT dilihat membawa
bekalan selesa untuk beraksi di suku akhir kedua pada ketika semua perlawanan
lain berlangsung sengit.
Di Stadium Jalan Besar,
LionsXII menang 1-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala Sime
Darby dan Sarawak seri tanpa sebarang jaringan.
Skuad Harimau Selatan yang
beraksi di hadapan lebih 30,000 penyokong setia tampil dengan aksi yang cukup
memukau.
Mereka tidak menunggu lama
mendapatkan gol iaitu seawal minit keempat menerusi sepakan percuma Jasazrin
Jamaluddin, yang menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Tuan rumah semakin selesa
apabila mendapat gol kedua pada minit ke-20 menerusi Norshahrul atau lebih
dikenali sebagai Mat Yo.
Pasukan pelawat bagaimanapun
berjaya merapatkan jurang melalui Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-22.
Kelebihan dua jaringan kembali
memihak Johor DT apabila ketua pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim meledak gol
ketiga Harimau Selatan pada minit ke-38.
Masuk babak kedua, Kelantan
tidak membuang masa mencari gol kedua apabila kurang lima minit beraksi,
sepakan pemain import pasukan lawan, Obinna Nwaneri membocori gawang Johor DT
buat kali kedua.
Percaturan jurulatih Johor DT,
Azmi Mohamed memasukkan Leonel Nunez menggantikan pemain muda, Muhd Haidin
Azman nyata berbaloi apabila dia menyumbat gol keempat pada minit ke-81.
Di Stadium Majlis Perbandaran
Selayang, Sime Darby dan Sarawak masing-masing buntu mendapatkan jaringan
selepas kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan dalam perlawanan yang
seimbang dan menghiburkan kira-kira 10,000 penonton yang hadir.
Skuad Bujang Senang mempunyai
beberapa peluang terhidang terutama menerusi Muamer Salibasic pada minit ke-33
yang menyaksikan percubaannya sedikit melepasi palang gol.
Kemudian, giliran bekas
penyerang kebangsaan, Mohd. Fadzli Shaari menunjukkan belang tersendiri pada
minit ke-44 apabila melakukan sepakan akrobatik yang mujur dapat ditepis keluar
oleh Sani Anuar Kamsani.
LionsXII membawa bekalan tipis
tetapi masih cukup berharga kerana tidak memberikan sebarang gol di tempat
lawan kepada ATM melalui kemenangan 1-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Seperti kebiasaan, jaringan
LionsXII terhasil melalui situasi bola mati pada minit ke-39 selepas sepakan
penjuru yang diambil Shahfiq Ghani hadir tepat di atas kepala Madhu Mohana dan
mudah menanduk masuk bagi jaringan tunggal tuan rumah.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130929/su_01/Mat-Yo-bantu-julang-JDT#ixzz2gEnp4R1x
© Utusan Melayu (M) Bhd