Pemain Malaysia, Mohamad Zaquan Adha Abd Razak (dua dari kanan) diasak
pemain Laos, Aphixay Thanakhanty (kanan) pada Perlawanan Piala AFF Kumpulan A
antara Malaysia menentang Laos yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil. -
Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Harimau Malaya bangkit benam Laos
Oleh Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Norshahrul Idlan Talaha sekali lagi menjadi penyelamat
apabila meledak dua gol untuk Malaysia bangkit mengatasi Laos 3-1, dalam aksi
kedua Kumpulan A Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Ia jaringan ketiga penyerang berpengalaman itu yang turut dikenali sebagai
Mat Yo, selepas meledak gol tunggal menewaskan Kemboja 1-0, di Phnom Penh pada
perlawanan pembukaan, Khamis lalu.
Selepas aksi pertama di Phnom Penh, Cheng Hoe melakukan sedikit perubahan
dengan memasukkan Syafiq Ahmad bagi mengambil posisi tengah Syamer Kutty Abba.
Manakala Mohamadou Sumareh yang mengalami kecederaan digantikan dengan
Syazwan Zainon di bahagian sayap.
Di atas kertas, Laos yang berada di ranking 181 dunia seharusnya menjadi
‘lubuk’ mata buat Malaysia (ranking ke-169), apatah lagi anak buah bekas
jurulatih Singapura, V Sundram Moorthy itu tumpas 0-3 kepada Vietnam pada aksi
pertama.
Namun, sebaliknya berlaku apabila Laos mengejutkan penyokong tuan rumah
dengan gol pertama menerusi sepakan percuma Phithack Kongmathilath yang cukup
deras menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di gawang pada minit ke-7.
Pemain Malaysia, Mohamad Zaquan Adha Abd Razak meraikan gol pertama pada
Perlawanan Piala AFF Kumpulan A antara Malaysia menentang Laos yang diadakan di
Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila bola hantaran lintang
Syahmi Safari dari sebelah kanan berjaya ditolak masuk kapten pasukan, Zaquan
Adha Abd Radzak pada minit ke-14.
Laos kemudian lebih banyak bertahan dengan mereka hanya berkubu di kawasan
sendiri dan cuba menekan Malaysia menerusi serangan balas pantas.
Skuad negara berpeluang untuk menambah jaringan, namun rembatan deras
Safawi Rasid dalam kotak penalti sedikit tersasar pada minit ke-21.
Buntu dengan kedudukan itu, Cheng Hoe menggunakan kesemua pemain penyerang
yang ada dengan memasukkan Akhyar Rashid, Shahrel Fikri Md Fauzi dan Ahmad
Hazwan Bakri menggantikan Syazwan, Safawi dan Syafiq.
Pemain Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha (tengah) diasak pemain Laos pada
Perlawanan Piala AFF Kumpulan A antara Malaysia menentang Laos yang diadakan di
Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Skuad negara mengasak hebat kubu Laos dengan penjaga gol berusia 22 tahun,
Outthilath Nammakhot seperti berjuang keseorangan menyelamatkan keadaan.
Sekurang-kurangnya tujuh peluang terbaik disia-siakan pemain negara
termasuk tandukan Aidil Zafuan Abd Radzak yang terkena tiang gol, manakala bola
tolakan Hazwan di depan pintu gol tersasar.
Bagaimanapun Mat Yo yang beraksi pada penampilan kelima dalam saingan Piala
AFF sejak membantu negara menjulang trofi pada 2010 membuktikan bisanya dengan
menyumbat gol pada minit ke-86 dan masa tambahan.
Kemenangan ini meletakkan Malaysia dalam kedudukan terbaik dalam misi
memburu tempat ke separuh akhir, apabila akan bertemu Vietnam di Hanoi Jumaat
ini dan Myanmar pada aksi terakhir di Bukit Jalil pada 24 November
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 12 November 2018 | 11:02pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan